May 26, 2016

Bekas pesakit mental dipenjara 10 tahun

SIBU: Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara terhadap seorang bekas pesakit mental setelah mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian orang lain pada September tahun lalu.

Tertuduh, Sio Kah Syn, 41, mengikut pertuduhan tentatif didakwa menyebabkan kematian So Ping Yin, 34, serta dituduh mengikut Seksyen 304(a), Kanun Keseksaan.

Dia didakwa menyebabkan kematian So pada 2 September 2015, antara jam 9 dan 10 malam di pekarangan rumah sewa, Jalan Foochow di sini.

Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa, So Pik Yau membuat laporan polis pada 2 September 2015 mengatakan pada 1 September 2015, kira-kira jam 11 malam anaknya (mangsa) tiba di rumah mereka di Lorong Maludan Barat 2-A di sini.

Anaknya menyatakan bahawa dia telah dipukul oleh seorang lelaki (tertuduh) dengan menggunakan objek di bahagian kepala.

Mangsa mengadu kepada ibunya bahawa dia berasa amat sakit di bahagian kepala dan mengajaknya pergi ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan.

Abang mangsa kemudian menghubungi pihak hospital dan setibanya di sana, mangsa terus koma.

Doktor yang merawat mangsa mengesahkan terdapat pendarahan di dalam kepala mangsa.

Pada 4 September 2015, lebih kurang jam 1.15 pagi mangsa disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, suspek yang juga tertuduh dikesan dan ditangkap pada 3 September 2015.

Semasa tangkapan dilakukan, rekod kesihatan menunjukkan tertuduh pernah menerima rawatan di Klinik Jiwa Sibu.

Tertuduh juga mengaku ada bergaduh dengan mangsa sebelum itu di bilik sewa sebuah rumah di Jalan Foochow di sini serta mengaku menghayun kayu ke arah kepala mangsa sebanyak dua kali sehingga kayu tersebut patah dua.

Berdasarkan bukti-bukti serta keterangan konsisten antara semua saksi, Pejabat Pendakwa Raya Negeri mengarahkan tertuduh dituduh di bawah Seksyen 304(a), Kanun Keseksaan.

Utusan Borneo 25 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment