May 5, 2016

Bawa pulang jenazah

Azahar Hashim
am@hmetro.com.my

Kulim: Keinginan ahli keluarga Mohd Azhar Abdul Wahab, 33, yang ditemui mati di sebuah hotel di Ho Chin Minh, Vietnam Rabu lalu untuk membawa jenazahnya pulang ke negara ini tercapai selepas Ahli Parlimen Kulim/ Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir sudi menanggung kos pengurusan terbabit.

Adik mangsa Mohd Norazman Abdul Wahab, 29, berkata, dia dan ibunya Rohani Ismail, 59, berasa amat bersyukur dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Abdul Aziz yang sudi menanggung kos perbelanjaan urusan membawa pulang jenazah abangnya dan kos tambang mereka ke Vietnam pada 5 Mei nanti.

Katanya, pada petang kelmarin wakil UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu ada datang berjumpa mereka dan memberitahu kesudian Abdul Aziz untuk membantu.

“Ketika kami sekeluarga dalam keadaan buntu memikirkan cara mendapatkan bantuan untuk urusan membawa pulang jenazah arwah abang saya, akhirnya mendapat perkhabaran gembira dari wakil Ahli Parlimen terbabit.

“Ini kerana kos membawa pulang jenazah dari Vietnam sekitar RM40,000 dan kos tambang dan penginapan di sana juga memerlukan perbelanjaan tinggi,” katanya.

Mohd Norazman berkata, mereka dibawa wakil Ahli Parlimen itu ke pejabat Jabatan Imigresen semalam untuk membuat pasport serta dokumen diperlukan bagi urusan membawa pulang jenazah.

Sementara itu, Rohani berkata, dia tidak dapat pergi ke Vietnam kerana masalah kesihatan dan berharap segala urusan anaknya dikendalikan rakan dan wakil Ahli Parlimen berjalan lancar.

myMetro 2 Mei 2016


Keluarga bingung punca kematian

MOHD AZHAR

ROSLINDA HASHIM

ALOR SETAR - Keluarga kepada rakyat Malaysia, Mohd Azhar Abdul Wahab, 33, yang ditemui mati di sebuah bilik hotel di Ho Chi Minh, Vietnam, Rabu lalu, berhasrat membawa pulang jenazah ke kampung halamannya di Kampung Air Merah, Kulim, dengan segera.

Adiknya, Mohd Noorazman, 31, berkata, kos untuk membawa pulang jenazah dianggarkan RM40,000 namun sehingga kini sumbangan masih tidak mencukupi, menyebabkan ahli keluarga tidak dapat menguruskan perkara itu kerana berdepan masalah kewangan.

“Abang saya ke Vietnam pada 12 April lalu bersama seorang rakan sekampung, atau lebih dikenali sebagai Angah, mereka sepatutnya pulang ke kampung 28 April lalu. Namun sehingga kini, kami juga tidak mendapat sebarang khabar berita daripada Angah,” katanya, ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, Mohd Azhar yang juga vokalis kumpulan punk, Svatantrata, kelihatan ceria dan tidak menunjukkan beliau dalam kesusahan sebelum bertolak ke negara itu untuk bercuti.

“Dia macam biasa sahaja ketika kali terakhir saya jumpa sebelum ke Vietnam. Abang dan Angah memang berkawan baik sejak kecil,” katanya.

Mohd Noorazman berkata, abangnya menjadi vokalis kumpulan itu sejak beberapa tahun lalu dan sering membuat persembahan di beberapa buah negara sebelum ini, antaranya Singapura, selain aktif di sekitar Kulim dan Kedah.

“Kami tahu tentang kejadian yang menimpa abang pun melalui polis yang memaklumkan perkara itu, sehari selepas kematiannya. Ibu saya sangat terkejut dan saya juga tidak dapat lelapkan mata sejak hari itu, memikirkan apa yang berlaku sebenarnya kerana kami memang rapat,” katanya ahli keluarga turut bingung dengan tragedi yang menimpa mangsa.

Tindakan pantas seorang rakan kepada Mohd Azhar memuat naik kejadian yang menimpa mangsa di Ho Chi Minh mendapat respons positif netizen apabila lebih 4,900 pembaca berkongsi status itu di laman facebook, menyebabkan ramai pihak tampil membantu.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar semalam memaklumkan, mayat Mohd Azhar ditemukan dalam bilik hotel di Ho Chi Minh dan punca kematiannya masih dalam siasatan polis Ho Chi Minh.

Bagaimana pun, laporan media menyatakan mayat Mohd Azhar ditemukan dengan kesan tetak pada bahagian kepala dan bahu, selain terdapat kesan darah pada lantai bilik hotel.

Sementara Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kerajaan negeri akan membantu keluarga terbabit dalam memudahkan urusan membawa pulang jenazah.

Sinar Harian 1 Mei 2016


Rakyat Malaysia ditemui mati di Ho Chi Minh

Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Konsulat Jeneral Malaysia Ho Chi Minh, Vietnam mengesahkan seorang lelaki warga Malaysia, Mohd Azhar Abdull Wahab, 33, ditemui mati dalam bilik hotel di ibu kota negara itu, semalam.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, punca kematian mangsa masih disiasat oleh pihak polis Ho Chi Minh.

"Berita kematian mangsa sudah dimaklumkan kepada keluarga Allahyarham," katanya.

Katanya, pegawai-pegawai Konsulat Jeneral juga sedang berhubung dengan keluarga Allahyarham untuk memberi bantuan serta sokongan.

myMetro 29 April 2016


0 comments:

Post a Comment