May 21, 2016

Bapa rantai anak ditahan

Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

Georgetown: Polis sudah menahan bapa yang merantai kaki anak lelakinya dalam keadaan bogel selama enam jam di pangsapuri di Paya Terubong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, setakat ini polis menahan bapa terbabit yang berusia 45 tahun bagi membantu siasatan.

Suspek mendakwa mangsa berusia 10 tahun itu dirantai dan dibiar dalam keadaan bogel kerana terlalu nakal dan membuat bising di rumah mereka.

"Suspek bekerja sebagai pemandu bas sekolah dan kita sudah mengambil keterangan daripadanya.

"Kita akan merujuk kes terbabit kepada Timbalan Pendakwa Raya dan sekiranya mempunyai unsur-unsur penderaan kita akan mengambil tindakan lanjut," katanya.

Gambar kanak-kanak terbabit menjadi viral selepas penduduk pangsapuri itu merakam dan memuat naik ke dalam Facebook.

Difahamkan, kanak-kanak itu dirantai bermula 9 malam Sabtu lalu hingga 3 pagi semalam dan kejadian ini dikatakan adalah kali kedua yang dilakukan bapanya terhadap mangsa.

Turut kelihatan dalam gambar berkenaan tompokan air dipercayai air kencing mangsa.

myMetro 16 Mei 2016


Cari ibu kanak-kanak kena rantai

Georgetown: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih berusaha mengesan ibu kandung kanak-kanak lelaki yang diikat dengan rantai besi tanpa pakaian oleh bapanya di tangga sebuah flat di Paya Terubung, di sini, Sabtu lalu.

Pengarah JKM Pulau Pinang Said Sidup berkata berdasarkan maklumat, wanita rakyat tempatan berusia 30-an itu sudah lama tidak menemui anak lelakinya yang berusia lapan tahun itu.

"Selepas ibu dan bapa kanak-kanak itu bercerai, dia tinggal bersama bapanya manakala seorang lagi adik perempuannya berusia enam tahun tinggal dengan wanita berkenaan.

"Keluarga kanak-kanak itu juga tidak tahu di mana wanita berkenaan tinggal kerana terputus hubungan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata kanak-kanak lelaki itu kini berada di Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan dan diberikan kaunseling oleh JKM.

“JKM mencari ibu kanak-kanak itu untuk menilai sama ada dia boleh menjaga anaknya selepas ini tetapi jika tidak dapat dikesan, kanak-kanak itu mungkin ditempatkan dalam jagaan JKM buat sementara," katanya.

Said berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita itu boleh menyalurkannya kepada JKM atau polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, bapa kanak-kanak itu dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi selepas diambil keterangan.

Media semalam, melaporkan kanak-kanak lelaki yang dalam keadaan bogel diikat dengan rantai besi di tangga rumahnya di sebuah flat di Paya Terubung selama lima jam oleh bapanya sebagai hukuman kerana nakal. - BERNAMA

myMetro 17 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment