May 13, 2016

Balasan bunuh rakan

Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

Johor Bahru: Lelaki warga Myanmar dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah membunuh rakan senegaranya, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Dr Sabirin Ja'afar menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Sein Htay, 45, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Tertuduh yang kelihatan tenang menerima keputusan mahkamah itu didakwa membunuh sehingga menyebabkan kematian, Pyae Phyo Aung, di asrama pekerja kilang di No 12, Jalan Belati 2, Taman Perindustrian Maju Jaya, Kempas di sini, kira-kira 6.30 petang, 1 April 2013.

Dalam penghakimannya, Dr Sabirin mendapati tertuduh yang memilih memberi keterangan tanpa bersumpah dari kandang tertuduh ketika membela diri memberikan versi keterangan yang berlainan daripada keterangan saksi-saksi pendakwaan.

"Versi keterangan tertuduh sukar dipercayai apabila dibandingkan dengan keterangan saksi pendakwaan," katanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Iffa Zarilla Abd Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam HK Yoong.

myMetro 12 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment