May 4, 2016

Amukan isteri berang


Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Seremban: Seorang lelaki cedera tangan kiri akibat dikelar dengan pisau oleh isterinya ketika mereka bertengkar di rumah sewa wanita itu di Taman Kelisa, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila lelaki berusia 39 tahun terbabit, ke rumah isterinya, warga China berusia 29 tahun kerana mengesyaki wanita itu curang.

"Lelaki itu memanggil isterinya namun tiada jawapan menyebabkan dia menyembur air pada pintu rumah. Wanita itu berang lalu keluar sambil membawa pisau.

"Dia cuba menikam perut suaminya namun lelaki itu sempat mengelak tetapi wanita itu sempat mengelar tangan kirinya. Mangsa yang cedera, menghubungi polis untuk bantuan," katanya ketika dihubungi.

Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk rawatan manakala wanita itu ditahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

Muhamad Zaki berkata, siasatan awal mendapati mereka tinggal berasingan sejak pertengahan tahun lalu selepas wanita itu menuntut cerai.

myMetro 1 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment