May 13, 2016

'Aku nak bakar rumah ni'

ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU - Padah buat seorang remaja apabila didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini angkara mengugut untuk membakar rumah ibunya kerana RM1,000.

Lelaki berusia 18 tahun itu didakwa melakukan kesalahan terbabit terhadap Kelthom Mohd Nor, 52, di sebuah rumah di Jalan Dusun 2, Jalan Bayam, di sini, pada jam 3 petang, 2 Mei lalu.

Dalam kejadian itu, pengadu yang berada di rumah didatangi tertuduh meminta wang sebanyak RM1,000 sambil berkata “aku nak bakar rumah ni”. Tertuduh kemudian mengambil kain buruk dan mengugut untuk membakar rumah.

Tertuduh membakar kain buruk tersebut dan meletakkan di bahagian dapur rumah. Pengadu yang ketakutan sempat memadamkan api pada kain buruk itu.

Bimbang akan keselamatannya, pengadu membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan tertuduh sejurus kejadian itu.

Pada prosiding semalam, tertuduh memohon hukumannya diringankan, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ainun Zafirah Abd Halim memohon hukuman setimpal yang dapat memberi pengajaran kepadanya.

Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin memutuskan denda berkenaan dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan jika denda gagal dijelaskan.

Hingga petang semalam denda berkenaan belum dibayar. Hukuman diputuskan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Sinar Harian 12 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment