May 13, 2016

Ajal tiga kenderaan bertembung

TIGA kenderaan motosikal, lori dan kereta terbabit kemalangan di Jalan Bukit Rambai, semalam.

Melaka: Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu motosikal, lori dan kereta di Jalan Bukit Rambai berhampiran Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi, difahamkan mangsa Rezuan Mohd Ali, 69, pengawal keselamatan kilang berhampiran dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas tamat syif berkerja sebelum terbabit kemalangan.

Menurut sumber, kemalangan itu berlaku berhampiran persimpangan jalan simpang tiga di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai sejurus lori dipandu lelaki berusia 42 tahun menghala Tangga Batu dan Bukit Rambai tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss dan kereta Proton Wira dipandu lelaki berusia 34 tahun keluar dari simpang terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, dipercayai pemandu lori terbabit cuba mengelak, namun mangsa yang menunggang motosikal tetap terlanggar tayar belakang lori terbabit, sebelum kereta Proton Wira terlanggar motosikal mangsa yang rebah.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan bedah siasat dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Melaka mendapati kematian mangsa akibat kecederaan pada kepala.

“Kita menahan ketiga-tiga kenderaan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya sambil mengesahkan pemandu kereta dan lori tidak cedera.

myMetro 12 Mei 2016


Sebak lihat bapa terbaring tak bernyawa

Mangsa maut di tempat kejadian selepas motosikal ditungganginya dilanggar treler.

BUKIT RAMBAI - “Tu ayah saya, dengan dia saya bergurau, saya ketawa, saya bersedih,” kata seorang lelaki dengan nada sebak selepas melihat bapanya terbaring tidak bernyawa di hadapan tayar sebuah treler di Jalan Bukit Rambai, di sini, semalam.

Mohd Hanafi, 24, berkata, bapanya Rezuan Mohd Ali, 69, itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja sebelum motosikal ditunggang dilanggar treler berkenaan kira-kira jam 8 pagi.

“Ayah kerja sebagai pengawal keselamatan di kilang, saya dan ayah masuk shift petang semalam tapi saya yang baru sampai rumah dapat tahu ayah kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Melaka Tengah, Mohd Kamal Zainal berkata, warga emas meninggal dunia di tempat kejadian selepas kemalangan membabitkan motosikal ditunggangnya dengan sebuah treler dan kereta.

“Kejadian berlaku di simpang tiga Kawasan Perindustrian Bukit Rambai melibatkan motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang mangsa dengan treler dipandu lelaki berusia 42 tahun dan kereta Proton Wira dipandu lelaki berumur 34 tahun.

“Siasatan awal, kejadian dipercayai berpunca apabila pemandu treler yang dalam perjalanan dari arah Tangga Batu/Bukir Rambai cuba mengelak kereta lalu motosikal yang keluar simpang secara mengejut,” katanya.

Mohd Kamal berkata, keadaan itu menyebabkan pemandu treler mengelak ke kiri namun terlanggar warga emas manakala pemandu kereta terbabas ke longkang yang terdapat di kiri jalan.

“Mangsa yang maut kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat manakala kedua-dua pemandu kereta dan treler yang dalam perjalanan ke kilang berhampiran itu tidak mengalami kecederaan.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Sinar Harian 12 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment