May 5, 2016

Ajal tak sempat hantar rakan

KEADAAN motosikal ditunggang Farriz.

Farriz Haikal dalam kemalangan di Kilometer 1.5 jalan Melang-Kuala Pilah. FOTO Amran Yahya

Kuala Pilah: Pada jam 10 malam kelmarin, Muhamamd Farriz Haikal Sabahudin, 19, mendapat tahu seorang rakannya tidak sihat dan perlu dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan segera.

Walaupun sudah lewat malam, remaja itu tidak pernah menolak, malah segera menghidup enjin motosikal sebelum bergerak dari rumahnya di Dioh ke Kampung Talang, di sini, untuk mengambil rakannya itu.

Perjalanan dari rumah ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) hanya mengambil masa antara 15 hingga 20 minit dengan Muhamamd Farriz menunggang, manakala rakannya, Nur Atikah Mokhtar, 21, membonceng.

Namun, takdir penentu segala-galanya dan dua sahabat itu tidak sempat tiba di HTAN apabila motosikal mereka merempuh sebuah kereta dipandu seorang wanita yang secara tiba-tiba membelok ke kanan.

Apa yang menyedihkan adalah kemalangan berlaku jam 10.15 malam di Kilometer 1.5, Jalan Melang–Kuala Pilah, berhampiran restoran Ar-Robah, di sini, hanya beberapa meter dari HTAN.

Muhamamd Farriz Haikal tidak sempat mengelak menyebabkan dia maut di tempat kejadian, manakala Nur Atikah ‘terbang’ melewati bumbung kereta dan tercampak kira-kira lima meter ke tengah jalan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Luqman Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu. semalam.

myMetro 30 April 2016


Remaja maut rempuh kereta

Rakan mangsa, Nur Atikah mengalami cedera parah dan dihantar ke HTAN untuk menerima rawatan lanjut.

KUALA PILAH - Hasrat seorang remaja ingin menghantar rakan wanitanya ke hospital tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal ditunggang merempuh kereta di Kilometer 1.5, Jalan Melang-Kuala Pilah, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, mangsa, Muhammad Farriz Haikal Sabahaudin, 19, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya, Nur Atikah Mokhtar, 21, yang membonceng motosikal parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).

Difahamkan, mangsa serta rakan wanitanya menaiki motosikal jenis Honda Funde dari Seremban ke Kuala Pilah merempuh Perodua Myvi yang dipandu A'qilah Idayu Mohd Nizam, 19, dari Kuala Pilah secara tiba-tiba membelok ke kanan.

Rempuhan kuat menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian, manakala rakan wanitanya tercampak kira-kira lima meter ke tengah jalan.

Menurut saksi, Mohd Khairul Bariah Mohd Nor, 26, ketika kejadian, dia mengekori mangsa dari arah belakang.

"Saya keluar dari Taman Desa Melang, menghala ke Pilah. Memang saya perasan motosikal mangsa kerana dia memotong saya. Tiba di lokasi, saya nampak sebuah kereta Perodua Myvi hendak membelok simpang dalam keadaan teragak-agak.

"Bila mangsa lihat kereta itu tidak jadi masuk simpang, dia terus menunggang motosikalnya dan pada masa sama, kereta itu pula masuk simpang, dan akhirnya berlaku perlanggaran," katanya ketika ditemui di bilik mayat HTAN.

Sementara itu, rakan Allahyarham yang enggan dikenali berkata, kali terakhir dia bertemu arwah jam 3.30 petang sebelum kejadian di Pilah.

"Arwah memang ada beritahu, dia nak hantar kawan dia ke hospital kerana demam.

"Saya dengan arwah memang hari-hari jumpa. Namun sejak akhir-akhir ini, arwah agak sibuk ke hulu ke hilir, macam tak tentu arah. Dia memang sahabat yang baik dan dikenali ramai," katanya tidak menyangka arwah akan ‘pergi’ secepat ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Luqman Abd Rahman berkata, mayat mangsa telah dibedah siasat jam 8.30 pagi semalam, manakala pembonceng masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAN.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, jenazah Muhammad Farriz akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Geduk, Gemencheh selepas solat Jumaat, semalam.

Wartawan Sinar Harian
30 April 2016



0 comments:

Post a Comment