May 11, 2016

Ajal selepas temu duga

Kereta dipandu mangsa yang remuk dalam kemalangan, kelmarin. Gambar kecil: Halimah

ALOR GAJAH - Hasrat seorang wanita untuk mendapat kerja baharu tidak kesampaian apabila dia terbabit kemalangan selepas menghadiri temu duga di Kluang, kelmarin.

Dalam kejadian kira- kira 6.30 pagi itu, Halimah Ahad, 26, maut apabila kereta dipandunya terbabit kemalangan di Kilometer 203.8 Lebuh Raya Utara - Selatan, arah utara, di sini.

Mangsa yang berasal dari Terengganu itu meninggal dunia akibat tercampak kira- kira 10 meter selepas kereta dipandunya terbabas sebelum melanggar lori di lorong kiri lebuh raya.

Difahamkan, mangsa juga eksekutif sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur itu dalam perjalanan ke tempat kerja selepas selesai menghadiri temu duga pekerjaan baharu di Kluang, kelmarin.

Ketua Polis Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati, mangsa terbabas sebelum melanggar belakang lori muatan bahan kimia yang sedang bergerak.

“Akibat pelanggaran di lorong kiri itu, mangsa kemudian tercampak keluar dari kenderaan ke atas jalan di lorong tengah dan meninggal dunia di tempat kejadian di lorong tengah.

“Mangsa yang dipercayai mengalami cedera parah di bahagian kepala sementara pemandu lori berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini, semalam.

Menurut A Asmadi, mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 10 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment