May 8, 2016

Ajal di but kereta

ANGGOTA bomba mengeluarkan Muhamad Azwan yang maut selepas kereta yang dinaikinya dirempuh lori ketika berhenti di bahu jalan.

Kuantan: Seorang lelaki yang berehat dalam but kereta sementara menunggu mekanik menukar tayar terbunuh manakala rakannya cedera parah apabila kenderaan mereka dirempuh lori di Kilometer 214, LebuhRaya Pantai Timur (LPT) arah Kuantan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi, mangsa, Muhamad Azwan Nawawi, 29, dari Klang, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian.

Rakan mangsa, Mohd Hakim Saparudin, 28, juga dari Klang dan mekanik, N Ravisangar, 40, beralamat di Pedas, Negeri Sembilan cedera parah.

Pemandu kereta, Shahrul Nizan Mohd Rais, 30, dan seorang lagi penumpang tidak mengalami kecederaan.

Difahamkan, mayat Muhamad Azwan terperosok dalam but belakang kereta memandangkan ketika kejadian dia dikatakan berehat dalam bahagian itu dengan pintu terbuka berikutan cuaca panas.

Mayat mangsa dikeluarkan sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Taman Tas, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan termasuk kereta dinaiki mangsa bersama tiga yang lain, kereta milik mekanik dan sebuah lori tiga tan.

Katanya, kereta Toyota Vios dipandu Shahrul Nizan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke bandar ini.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, satu tayar kereta itu mengalami kerosakan lalu mereka berhenti di bahu jalan sebelum menghubungi mekanik (Ravisangar) untuk membaikinya.

“Mekanik itu tiba dengan kereta jenis Proton Saga dan dia meletakkan kenderaan di depan kereta yang mengalami kerosakan tayar terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Noor Yusof berkata, ketika mekanik berkenaan membaiki tayar kereta itu, pemandu dan penumpangnya menunggu di luar manakala Muhamad Azwan berehat dalam but belakang kereta kerana cuaca panas.

Kataanya, tiba-tiba datang sebuah lori yang hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang kereta itu dan kereta milik mekanik yang berada di depan.

“Menurut mangsa yang terselamat, lori itu berhenti seketika selepas kejadian, bagaimanapun pemandunya meneruskan perjalanan dengan alasan untuk terus ke balai membuat laporan.

“Bagaimanapun, belum ada laporan dibuat pemandu lori berkenaan. Justeru, polis mengesan kenderaan dan pemandu terbabit bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini, untuk bedah siasat manakala dua mangsa yang parah turut dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.

myMetro 8 Mei 2016




0 comments:

Post a Comment