May 28, 2016

Ajal bertembung jentolak

Muhammad Anas maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan jentolak di Jalan Ulu Melaka, Langkawi,hari ini. FOTO Ihsan Pembaca

Hamzah Osman
am@hmetro.com.my

Langkawi: Remaja maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan jentolak di Jalan Ulu Melaka berhampiran Sekolah Rendah Darul Ulum, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa, Muhammad Anas Mohd Noor, 14, dari Kampung Perana, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala, dada dan badan.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Langkawi Asisten Superintendan Mahadhir Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, mangsa dalam perjalanan dari Padang Gaong ke Makam Mahsuri sebelum terbabas sendiri ke laluan kanan dan bertembung dengan jentolak dari arah bertentangan.

"Berikutan itu, mangsa yang juga seorang pelajar sekolah dilaporkan mengalami cedera parah di kepala, dada dan badan dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pemandu jentolak berusia 41 tahun yang juga penduduk tempatan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Rumah Mayat Hospital Langkawi dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 28 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment