May 28, 2016

Ajal berlanggar dengan kereta

Bektter meninggal dunia di tempat kejadian.

Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Pembonceng maut, penunggang parah selepas motosikal ditunggang mereka berlanggar dengan kereta di Jalan Tuaran Bypass berhampiran Kampung Rampayan, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 5.20 pagi itu, pembonceng, Bektter Imun, 23, yang parah di bahagian kepala dan badan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang lelaki berusia 18 tahun parah dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth II(HQE II) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Saga dari arah Kota Kinabalu menuju ke Tuaran dan sebaik tiba di lokasi kejadian berlanggar dengan sebuah motosikal menyebabkan penunggang dan pembonceng terhumban ke tepi jalan.

"Akibat kejadian itu, penunggang motosikal parah dan dibawa ke HQE II untuk rawatan manakala pembonceng disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, pembonceng motosikal berkenaan didapati tidak menggunakan topi keledar ketika berada di atas jalan raya.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berkenaan berpunca daripada kecuaian pemandu Proton Saga kerana tidak berhati-hati hingga menyebabkan kemalangan maut.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

myMetro 28 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment