May 23, 2016

250 rumah hangus


ANTARA rumah yang musnah dalam kebakaran. FOTO ihsan pembaca

Junaidi Ladjana

Kudat: Lebih 1,000 penduduk hilang tempat tinggal selepas 250 rumah di Kampung Landung Ayang Laut, di sini, musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 4.50 pagi itu, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan selepas semua penghuni rumah menyelamatkan diri.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5.01 pagi, dua jentera dengan kekuatan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat dikerah ke lokasi kejadian.

"Kebakaran membabitkan rumah sebanyak 30 buah dan operasi memadam terus dilakukan bagi mengelak api merebak.

"Api dikawal pada 7.30 pagi dan usaha memadam bara api yang masih ada sedang giat dijalankan pasukan BBP Kudat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Operasi memadam kebakaran turut dibantu Pasukan Bomba dan Sukarela (PBS) Kampung Air, seramai enam orang.

myMetro 23 Mei 2016


Subuh berapi

KEADAAN kebakaran di perkampungan atas air di Kampung Landung Ayang Laut, Kudat.

Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my

Kudat: “Sebaik sahaja azan berhenti, tiba-tiba suara menjerit meminta tolong kedengaran. Saya kemudian bergegas dan melihat orang ramai berlari menyelamatkan diri termasuk ada penduduk terjun ke laut,” kata Ahmad Fazli, 24, saksi kejadian kebakaran memusnahkan 250 rumah di perkampungan atas air di Kampung Landung Ayang Laut, di sini, awal pagi, semalam.

Susulan kebakaran jam 4.50 pagi itu menyebabkan lebih 1,300 penghuni hilang tempat tinggal dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan kerana ketika kebakaran itu berlaku rata-rata penghuni sedang tidur tetapi semua mereka berjaya menyelamatkan diri.

Ahmad berkata, ketika kejadian dia bekerja sebagai jaga di Sekolah Kebangsaan (SK) Landung Ayang, terkejut terdengar suara menjerit meminta tolong.

“Ketika itu, saya di dalam pondok pengawal membuat laporan dan mahu menunaikan solat Subuh selepas terdengar laungan azan dari masjid berhampiran.

“Sebaik sahaja azan berhenti, tiba-tiba terdengar suara bertalu-talu meminta tolong lalu saya keluar dan terkejut melihat kepulan asap tebal dan api menjulang tinggi.

“Tanpa berlengah, saya berlari ke rumah dan mengejut semua ahli keluarga sebelum menyelamatkan harta benda di dalam rumah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, selepas itu, dia segera membantu beberapa penduduk kampung untuk menyelamatkan harta benda mereka daripada musnah terbakar pada masa yang sama menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Ketika itu, penghuni berpusu-pusu menyelamatkan diri dan ada penghuni terpaksa terjun ke laut selepas rumah mereka dimamah api.

“Tidak lama selepas itu, sepasukan bomba tiba dan memadam api daripada merebak ke rumah berhampiran. Alhamdulillah rumah saya selamat daripada terbakar,” katanya.

Seorang lagi penduduk kampung berkenaan Mohd Arshad Tahir, 22, berkata, ketika kejadian dia baru sahaja terjaga dari tidur sebaik terdengar bunyi azan untuk menunaikan solat Subuh.

“Ketika itu, saya hendak ke bilik mandi untuk mengambil wuduk untuk menunaikan solat Subuh sebelum terkejut apabila terdengar suara menjerit mengatakan berlaku kebakaran.

“Saya kemudian melihat dari tingkap rumah dan mendapati rumah jiran sedang terbakar lalu bergegas mengejutkan semua ahli keluarga untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Arshad berkata, tiada apa yang dapat diselamatkan termasuk harta benda, barang kemas dan wang tunai milik keluarganya kerana api marak dengan pantas.

myMetro 24 Mei 2016





0 comments:

Post a Comment