May 6, 2016

10 jam terbaring menunggu ajal

Keadaan wanita berusia 79 tahun ketika ditemui dalam keadaan tidak bermaya selepas hampir 10 jam diserang. - Foto Ihsan pembaca

Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my

Pasir Mas: Seorang wanita warga emas berusia 79 tahun terbaring tidak bermaya bagaikan menunggu ajal selama hampir 10 jam sebelum ditemui selepas cedera, termasuk patah dua tulang rusuk akibat dipukul seorang lelaki dikenali yang menyamunnya di Kampung Tok Derpah, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi namun wanita berkenaan hanya dijumpai dalam keadaan tidak bermaya pada 6.30 petang semalam oleh penduduk kampung yang mencarinya.

Mangsa kerugian lebih RM1,000 apabila wang tunai dan barang kemas disamun lelaki berusia 30-an itu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, ketika kejadian, mangsa sedang membawa kerbau ke padang berdekatan rumah.

Katanya, lelaki yang dikenali dipercayai memukul mangsa termasuk di kepala menggunakan kayu.

"Akibatnya mangsa patah dua tulang rusuk dan cedera di kepala menyebabkan dia terbaring di lokasi kejadian dari pagi hingga petang sebelum ditemui.

"Mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya di sini, hari ini.

myMetro 5 Mei 2016




0 comments:

Post a Comment