April 23, 2016

Warga emas hidap kanser tiriod ditemukan mati

Leachama menunjukkan gambar suaminya.

ALOR SETAR - Seorang warga emas yang menghidap kanser‎ tiroid ditemukan mati lemas dalam parit di Taman Mahagoni, di sini hari ini, selepas dipercayai terjatuh ke dalam parit itu semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Mayat M. Silvarajoo, 72, ditemukan terapung di parit berkenaan oleh penduduk taman terbabit.

Isteri lelaki itu, S. Elachamma, 62, berkata suaminya pergi ke kedai berhampiran untuk membeli rokok pada kira-kira 1 tengah hari dan dia mula berasa bimbang apabila suaminya tidak pulang selepas lebih satu jam.

"Saya bimbang dengan kesihatannya yang menghidap kanser tiroid tahap empat sejak 10 tahun lalu. Saya mula rasa tidak sedap hati apabila dia tidak pulang ke rumah selepas lebih satu jam.

"Pukul 2.30 petang saya baru hendak keluar untuk mencari suami sebelum ada orang datang dan memaklumkan yang dia jatuh ke dalam parit yang terletak berhampiran rumah dan apabila sampai saya lihat suami dalam keadaan tertiarap dan dipenuhi lumut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, A.Sundra Lingam, 30, berkata sebelum kejadian Silvarajoo ada meminta duit daripadanya untuk membeli rokok namun dia hanya memberikan rokok miliknya sebelum menghantar lelaki itu ke kedai dengan menaiki motosikal.

"Semasa saya dalam perjalanan pulang selepas berjumpa rakan, ada orang memaklumkan bahawa mangsa telah jatuh ke dalam parit. Saya terus menghubungi pihak bomba dan ambulans selepas  gagal membantu menyelamatkan mangsa," katanya.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba Penyelamat Kedah Penguasa Bomba Nur Hafizah Mohammad Lukman berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada
3.29 petang dan tiba di tempat kejadian kira-kira dua minit kemudian.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan sebanyak tujuh anggota bomba terlibat dalam kerja menyelamat," katanya. - Bernama

23 April 2016

Penghidap kanser mati lemas

0 comments:

Post a Comment