April 6, 2016

Warga emas dikhuatiri hilang di Gunung Berlumut

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas dikhuatiri hilang setelah sehari tidak pulang ke rumahnya selepas mencari bahan kitar semula di Gunung Berlumut, Kampung Gajah, dekat Kluang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohamad Laham yang mengesahkan kejadian itu, berkata pihaknya menerima laporan pada pukul 10.30 pagi tadi berkenaan Taib Sarip, 62, yang tidak pulang ke rumah sejak semalam.

Menurut seorang saksi Mohd Sharif Sa'yan, 61, dia ada melihat kelibat Taib kira-kira pukul 4.00 petang semalam yang masuk ke kawasan Gunung Berlumut dipercayai untuk mencari barang-barang kitar semula.

Mohd Sharif, yang juga besan kepada Taib telah ke lokasi Gunung Berlumut pada pukul 8.00 pagi tadi dan mendapati van milik Taib masih di situ tetapi warga emas itu gagal dikesan.

Mohamad berkata setakat ini, empat aset termasuk sebuah trak, dua buah van milik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan sebuah kenderaan polis digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat melibatkan kira-kira 27 anggota dan orang kampung.

Beliau juga berkata pihaknya turut menggunakan khidmat unit anjing pengesan. -Bernama

28 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment