April 21, 2016

Wanita cari waris anak angkat



Wanita cari waris anak angkat
Zaleha merayu bantuan orang ramai mencari waris Mohd Amirul Izzat.

KANCHONG DARAT - Seorang wanita merayu bantuan orang ramai mencari waris anak angkat lelakinya yang dipelihara sejak 2010 bagi tujuan dokumentasi mendapatkan status penjaga yang sah.

Pembantu kedai, Siti Zaleha Mohd Ansar, 37, berkata, anak angkatnya, Mohd Amirul Izzat, 6, diserahkan oleh keluarga kandungnya 10 hari selepas kanak-kanak itu dilahirkan di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur.

“Kalau tak silap saya, nama ibu kandung Amirul ialah Nabila, dan nama panggilannya Ila...masa tu umurnya 19 tahun.

“Pada awalnya saya diminta jaga Ila dalam tempoh berpantang selama sebulan dan diberi tanggungjawab untuk jaga Amirul sampai sekarang,” katanya.

Menurutnya, keluarga Ila pernah memaklumkan akan menghubunginya selepas dua tahun tetapi sehingga hari ini tiada apa-apa maklumat daripada pihak itu.

"Sebelum ini, masa saya ikut suami tinggal di Bentong, Pahang...saya pernah berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sana sebab nak siapkan dokumen proses ambil anak angkat.

"Sampailah saya berpindah ke Banting, tiada sebarang maklumat daripada waris Amirul,” katanya.

Zaleha berkata, dia kini sedang dalam proses menguruskan semula dokumen itu.

“Macam mana nak lengkapkan dokumen itu kalau tiada maklumat waris.

“Lagipun sekarang umur Amirul dah 6 tahun, tahun depan nak masuk darjah satu, jadi macam-macam dokumen kena isi nanti,” katanya.

Orang ramai yang mengenali ibu atau keluarga Mohd Amirul Izzat boleh menghubunginya di talian 011-23178979.

Nurul Firdaus Khairi
Sinar Harian
20 April 2016

0 comments:

Post a Comment