April 19, 2016

Van rempuh belakang lori

Mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 237.9 Lebuhraya Utara- Selatan, semalam. Gambar kecil: Ibrahim

REMBAU - Seorang pemandu van maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas sebelum merempuh belakang lori di Kilometer 237.9 Lebuhraya Utara - Selatan, arah Utara, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 pagi itu menyebabkan Ibrahim Mengu, 33, maut di tempat kejadian, manakala penumpangnya mengalami cedera parah.

Menurut pemandu lori, Izwan Kadiman, 34, semasa kejadian, dia dalam perjalanan dari Ulu Tiram Johor ke Pasar Borong Selayang untuk menghantar buah tembikai.

Ketika tiba di tempat kejadian, katanya, dia terasa belakang lorinya dirempuh kenderaan lain, sebelum bertindak menghentikan lori di tepi jalan.

“Sebaik sahaja saya turun dan melihat ke belakang, saya dapati ada sebuah van putih terbabas dan dalam keadaan remuk.

“Saya kemudian berlari ke arah mangsa yang ketika itu masih bernyawa untuk memberi bantuan, namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana dirinya tersepit.

“Kebetulan semasa kejadian kereta Peronda Plus lalu. Merekalah yang menghubungi pihak bomba dan polis untuk memaklumkan kejadian,” katanya di sini, semalam.

Izwan berkata, dia yang memandu keseorangan bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.10 pagi.

Menurutnya, sebaik sampai di lokasi kejadian, pihaknya mendapati pemandu van sudah meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan, selain tersepit.

“Mangsa kemudian dibawa keluar oleh pasukan bomba, sebelum dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

“Punca kemalangan dan kematian masih dalam siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian 11 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment