April 21, 2016

Tumpang kasih bapa saudara

Murthy (empat, kiri) menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada empat beradik yatim piatu ketika melawat mereka di Kampung Batu Bakar, Bahau.

BAHAU - Empat beradik yatim piatu selepas ibunya meninggal dunia awal April lalu kini terpaksa menumpang kasih di rumah bapa saudaranya di Kampung Batu Bakar, dekat sini.

Sungguhpun begitu, nasib mereka terus mendapat perhatian MIC cawangan Jalan Kereta Api di sini yang berkesempatan menyumbangkan barangan dapur, sekali gus mampu mengurangkan beban ditanggung penjaga mereka.

Menurut Pengerusi MIC cawangan berkenaan, K Murthy, bapa empat beradik tersebut iaitu Wong Chin Loy telah meninggal dunia pada 2003 akibat serangan jantung.

“Sementara ibunya, M Padmabhola meninggal dunia awal April lepas akibat sakit diabetes dan darah tinggi.

“Anak sulung pasangan ini, Wong Kwee Soog berusia 18 tahun baru habis sekolah, manakala Wong Kwee Jing, 17, Wong Keww Per, 15, dan bongsu Wong Sin Zhi, 14, masing-masing  masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Chi Wen, Bahau.

“Sejak bapa mereka meninggal dunia, ibunyalah yang menyara mereka dengan bekerja sebagai tukang kebun di sekolah berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Murthy berkata, ibunya juga mendapat bantuan secara bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300.

“Namun segalanya berubah setelah ibunya pula meninggalkan mereka buat selama-lamanya. Mereka bernasib baik kerana mempunyai bapa saudaranya di kampung sama.

“Manakala penjaga mereka disarankan buat permohonan baru berhubung bantuan bulanan daripada JKM,” katanya.

Murthy berkata, berharap adik-beradik itu tabah meneruskan hidup dan penjaganya juga sentiasa memastikan mereka tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar.

Sinar Harian 19 April 2016

0 comments:

Post a Comment