April 21, 2016

Titisan darah depan kedai


Sitiawan: Seorang tukang jahit ditemui mati dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah dipercayai dibunuh dalam kedai jahit miliknya di Jalan Mohamad di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi, Ling Choo Mooi, 59, ditemui seorang jiran berhampiran kedainya sebelum menghubungi talian kecemasan.

Jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai Faiq, 30, berkata, kali terakhir dia melihat mangsa beberapa jam sebelum kejadian ketika dia melalui jalan di depan kedainya yang berhampiran kedai jahit mangsa.

Menurutnya, ketika itu, dia dalam kedainya dan mangsa tidak menunjukkan kelakuan mencurigakan.

“Pemilik kedai bersebelahan kedai saya menemui titisan darah di depan kedai saya dan kami mengikut titisan darah itu sebelum menemui titisan darah di depan pintu kedai mangsa.

“Sebaik masuk ke dalam kedai, saya terkejut melihat mangsa tertiarap berlumuran darah dalam bilik menjahit. Saya cuba memanggil ‘auntie’ dua kali, namun mangsa tidak memberikan sebarang maklum balas sebelum segera keluar dari kedai dan menghubungi polis,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia tidak mendengar sebarang bunyi bising dan tidak melihat individu mencurigakan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad berkata, mangsa dipercayai dibunuh dan motif kejadian masih belum diketahui.

Menurutnya, mangsa ditemui mati dengan kesan dikelar pada leher menggunakan senjata tajam.

“Sebelum kejadian, mangsa ada menghubungi rakan kongsinya meminta datang ke kedai dan ketika itu rakannya sedang berjoging.

“Selepas pulang dari berjoging dan membersihkan diri, rakannya ke kedai kira-kira jam 9.30 pagi dan mendapati kejadian sudah berlaku,” katanya.

Tengku Mohd Zailan berkata, siasatan mendapati kejadian bukan rompakan dan tiada kehilangan barang di kedai berkenaan.

“Kita percaya suspek seorang lelaki, namun senjata digunakan tidak ditemui di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk dibedah siasat,” katanya.

myMetro 20 April 2016


Ditahan kes bunuh wanita

IPOH – Polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit kes pembunuhan seorang wanita di Sitiawan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Mohd Shah berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditahan di Kampung Cina, Sitiawan pada jam 2 petang selepas lima jam mayat wanita itu ditemui.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai hubungan keluarga dengan mangsa.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan kejadian ini berlaku ada kaitan dengan masalah keluarga,” katanya.

Beliau berkata, turut ditemui pisau dipercayai senjata yang digunakan suspek untuk membunuh mangsa.

Katanya, suspek direman tujuh hari mulai semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu, mayat Ling Choo Mooi, 59, ditemui tertiarap dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh di premisnya di Jalan Muhamad, Sitiawan.

Wartawan Sinar Harian
21 April 2016


0 comments:

Post a Comment