April 21, 2016

Tiga sekeluarga terpaksa tinggal dalam kereta

Rengaiya menjadikan kereta lama mereka sebagai rumah untuknya sekeluarga.

IPOH – Akibat kesempitan wang, sebuah keluarga terpaksa menjadikan kereta lama sebagai kediaman baharu selepas terpaksa keluar dari rumah yang disewa di Taman Kinta, Gopeng, sejak sebulan lalu.

Keadaan keluarga itu disedari setelah mereka bermalam di hadapan Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak sejak dua hari lalu kerana buntu untuk mendapatkan bantuan.

Itulah yang dilalui R Rengaiya, 51, dan isteri, N Karnagi, 44, serta anak mereka, R Vikneswaran, tujuh tahun.

Lebih menyedihkan, Rengaiya merupakan pesakit jantung dan buah pinggang manakala isterinya pula berstatus orang kurang upaya (OKU) apabila lumpuh kedua-dua kakinya dan desakan hidup itu juga menyebabkan anaknya itu tercicir daripada persekolahan.

Menurut Rengaiya, sebelum ini mereka menyara kehidupan dengan menjual bunga melur untuk kegunaan sembahyang.

“Namun, apabila tuan rumah meminta kami keluar, saya tidak mampu untuk menjalankan perniagaan dan selama sebulan itulah kami mencari rumah-rumah yang boleh kami duduki.

“Kami juga menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi ia tidak memadai kerana keperluan tinggi terhadap ubat-ubatan, lampin untuk isteri serta perbelanjaan harian,” katanya.

Rengaiya berkata, dia memohon pihak berkenaan dapat membantu mereka sekeluarga mendapatkan kediaman untuk disewa sebagai permulaan untuk merekameneruskan kehidupan.

“Sekiranya ada tempat tinggal, saya sedikit sebanyak boleh menyara kehidupan dengan menjual bunga melur di tepi jalan seperti mana sebelum ini. Bantuan kerusi roda juga diperlukan untuk isteri bergerak,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga itu boleh berbuat demikian dengan menghubungi Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd Rawi Abdullah ditalian 016-5546655 atau 019-5168338.

Wartawan Sinar Harian
20 April 2016


Cari rumah tingkat bawah

MOHD Rawi (kanan) mendengar luahan hati Rengaiya di Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak.

Ipoh: Penderitaan dialami tiga beranak hingga terpaksa tinggal dalam sebuah kereta lebih sebulan lalu berikutan kesempitan hidup mendapat perhatian beberapa pihak yang menghulurkan bantuan.

R Rengaiya, 51, bersama isteri, N Karnagi, 44, yang berstatus orang kurang upaya (OKU) kerana lumpuh kedua-dua kaki hingga paras pinggang serta anak tunggal mereka R Vikenshwaran berusia tujuh tahun kini lega apabila bakal mendapat bantuan rumah untuk sementara waktu.

Ketua Urus Setia Pusat Khidmat Aduan Barisan Nasional (BN) Mohd Rawi Abdullah pada sidang media semalam berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan sebuah rumah bagi membantu keluarga berkenaan.

Menurutnya, sebuah rumah sewa untuk keluarga berkenaan sudah ditemui, tetapi tidak sesuai kerana keadaan isteri Rengaiya yang lumpuh.

“Rumah sedia ada berada di tingkat atas pangsapuri yang menyukarkan Rengaiya membawa isterinya keluar masuk. Kami akan cuba mencari rumah di tingkat bawah dan selepas itu akan cuba uruskan bantuan lain,” katanya.

Katanya, pihaknya juga cuba untuk menyelesaikan urusan persekolahan anak Rengaiya yang sudah lebih sebulan tidak bersekolah.

Orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan kepada keluarga berkenaan boleh datang ke pejabat atau menghubungi talian 016-5546655 atau 019-5168338.

Rengaiya ketika ditemui pula berkata, dia gembira dengan bantuan akan disalurkan Pusat Khidmat BN dan berharap mendapat rumah untuk didiami secepat mungkin.

Harian Metro semalam menyiarkan kisah tiga beranak yang dihimpit pelbagai masalah hingga terpaksa tinggal dalam kereta lebih sebulan lalu di sekitar Kampar, Bandar Seri Botani dan Gopeng menyebabkan anak lelaki keluarga itu, Vikenshwaran yang tidak bersekolah lebih sebulan lalu berikutan kesempitan hidup.

Muhamad Izzat Nasuruden
myMetro 20 April 2016




0 comments:

Post a Comment