April 19, 2016

Tiga hari padam kebakaran

Anggota bomba memadamkan kebakaran di kaki Gunung Kerunai.

Api merebak dengan cepat berikutan cuaca panas.

GERIK - Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik mengambil masa selama tiga hari bagi memadam kebakaran yang berlaku di kaki Gunung Kerunai dekat Kampung Pahat Luar, di sini, Khamis lalu.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad Asaris berkata, pihaknya terpaksa mengambil masa lama kerana kebakaran yang melibatkan kawasan seluas enam hektar itu merebak dengan cepat disebabkan cuaca panas.

Menurutnya, anggota mengalami kesukaran dalam operasi itu kerana jaraknya yang jauh dari jalan besar.

"Anggota terpaksa menggunakan kenderaan utiliti serta lori dan terpaksa menempuh laluan sejauh 10 kilometer untuk sampai ke lokasi kebakaran.

“Kita terima panggilan berhubung kebakaran ini pada malam Khamis lepas. Apabila kita periksa, kita dapati kebakaran melibatkan kawasan seluas enam hektar dan bukan setempat.

“Anggota menghadapi kesukaran untuk ke sana dan kebakaran itu juga merebak sehingga ke Gunung Kerunai. Kita membuat ‘fire break’ bagi mengelakkan api merebak lebih jauh,” katanya.

Katanya, kebakaran itu juga menyebabkan beberapa batu jatuh dan pokok tumbang sekali gus menyukarkan operasi pemadaman.

“Begitu pun, hujan di kawasan ini membuatkan api lebih cepat padam. Kita menggunakan pelbagai teknik memadam seperti pemerap api.

“Semalam (kelmarin), kita periksa sekali lagi kawasan itu dan dapati api padam sepenuhnya. Operasi tamat kira-kira jam 5.20 petang,” katanya.

Sinar Harian 4 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment