April 19, 2016

Tersepit tengah jalan

ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa.

Kajang: Seorang lelaki maut selepas Honda City dipandunya merempuh pembahagi jalan di Lebuhraya Kajang-SILK susur keluar Serdang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa yang berusia 34 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala sebelum mayat dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.08 pagi dan sepasukan anggota BBP Bangi dikerahkan ke lokasi.

“Sebaik tiba mereka mendapati seorang lelaki tersepit di antara tempat duduk pemandu dan papan kemuka kereta,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, anggota terpaksa menggunakan peralatan hidraulik untuk memotong kenderaan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Bomba menggunakan kaedah merenggangkan papan pemuka dan tempat duduk dengan berhati-hati berikutan kedudukan mangsa yang tersepit di bahagian dada dan kedua-dua kakinya.

“Kemalangan itu menyebabkan bahagian depan dan sisi kereta itu remuk teruk manakala mangsa yang memandu seorang diri dipercayai tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mohd Sani berkata, anggota mengambil masa selama 35 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mayat diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

myMetro 18 April 2016


0 comments:

Post a Comment