April 21, 2016

‘Terkejut lihat suami masih tidur’

Jenazah Mohd Syukri Bachok dibawa ke rumah ibu mertuanya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Semenchu. Gambar kecil: Mohd Syukri.

KOTA TINGGI - “Tak sangka cepatnya ALLAH ambil dia daripada kami,” kata Sharini Selamat, 36, isteri kepada Imam Masjid Sultan Abu Bakar, Mohd Syukri Bachok, 38, yang meninggal dunia pagi semalam, di kediamannya di Kuaters Jalan Datuk Menteri, dekat sini.

Ibu dua anak itu berkata, suaminya sepatutnya tidur di masjid pada malam itu kerana tiba gilirannya bertugas di masjid pada pagi tersebut.

Bagaimanapun katanya, dia terkejut apabila melihat suaminya masih tidur di sebuah bilik lain di rumah mereka, ketika dia bangun untuk menyiapkan anak ke sekolah, kira-kira jam 6.20 pagi.

"Malam tadi (semalam) sebelum masuk tidur, saya sempat berpesan kepada suami agar jangan lupa matikan lampu di rumah sebelum ke masjid.

"Suami memang akan tidur di masjid apabila tiba giliran tugasnya kerana takut terlewat, namun tak sangka pula bila bangun pagi itu, saya lihat suami di dalam bilik sedang tidur," katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Felda Semenchu, dekat sini.

Menurutnya, dua kali dia mengejutkan suaminya namun tidak berbalas dan mula rasa tidak sedap hati ketika mahu mengejutkan suaminya itu buat kali ketiga.

"Ketika itu saya lihat telinganya sudah kebiruan. Saya terus berlari ke rumah jiran sebelah minta tolong hubungi ambulans.

"Pegawai perubatan yang datang kemudiannya mengesahkan suami telah meninggal dunia," katanya.

Sharini berkata, suaminya sebelum ini tidak pernah menghidap sakit jantung, namun sebelum ini pernah dimasukkan ke wad kerana sakit paru-paru berair, selain turut hidap  darah tinggi.

Menurutnya, suaminya yang telah 10 tahun berkhidmat sebagai imam tidak ada menunjukkan sebarang perubahan atau apa-apa tanda akan pergi meninggalkan mereka.

Namun katanya, sebelum ini suaminya ada memberitahu mahu anak sulung mereka berusia 9 tahun cepat khatam al-Quran dan seterusnya mempelajari taranum.

"Saya masih terkejut dengan apa yang berlaku, malah tidak sangka suami pergi tanpa sebarang isyarat, lebih-lebih lagi kami mempunyai dua anak masih kecil.

"Bagaimanapun, saya reda dengan pemergiannya," katanya yang telah 10 tahun mendirikan tangga.

Jenazah Allahyarham Mohd Syukri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Semenchu kira-kira jam 2.30 petang, semalam.

Wartawan Sinar Harian
20 April 2016

0 comments:

Post a Comment