April 19, 2016

Susu pekat manis ganti formula

Norma memangku Hidayah yang menghidap meningitis di rumah kakaknya di Taman Sri Pinang.

PONTIAN - “Asalkan dia tidak lapar dan haus cukuplah,” kata Norma Yaakub, 29, yang terpaksa memberikan bancuhan susu pekat manis kepada anaknya Nur Hidayah Danisya Saiful Azhar, 8, kerana tidak mampu membeli susu formula khas.

Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, Hidayah menghidap meningitis sejak berusia empat bulan akibat demam panas.

Disebabkan itu, Hidayah tidak membesar dengan sempurna, hanya terbaring sepanjang masa, tidak boleh bercakap dan terpaksa menggunakan lampin pakai buang.

"Dengan upah RM10 sehari sebagai pembantu kedai makan dan suami Saiful Azhar Mohd Yusof sebagai buruh binaan, memang kami tidak mampu untuk membeli susu formula untuk Hidayah.

"Wang yang ada digunakan untuk membeli makanan dan sekolah anak-anak selain membayar sewa rumah sebanyak RM200 sebulan," katanya ketika ditemui di rumah kakaknya di Taman Sri Pinang, di sini, semalam.

Lebih menyedihkan, Hidayah terpaksa berkongsi lampin pakai buang bersaiz “L” dengan adik bongsunya Mohd Airel Iman, 3, menyebabkan dia sentiasa menggaru kulit akibat ruam.

"Walaupun tidak muat, namun Hidayah terpaksa memakainya kerana saya tidak mampu membeli lampin pakai buang khas bersaiz lebih besar berbanding lampin bayi untuknya.

"Lampin bayi digunakan Hidayah tidak mampu menampung air kencing dan najis. Akibatnya air kencing dan najis akan terkena pada tilam. Hidayah tidak selesa dan menggaru kulitnya kerana ruam," katanya.

Norma berkata, Hidayah juga sudah tidak mendapat rawatan dan menjalani fisioterapi kerana kesukaran untuk membawanya ke hospital.

"Kali terakhir, Hidayah berjumpa doktor ketika dia berusia tiga tahun di Hospital Dungun, Terengganu. Ketika itu kami tinggal di Dungun.

"Dua tahun lalu, kami mengikut kakak ipar Afiana Ariffin, 40, bersama keluarga berpindah ke Pontian," katanya.

Dia berkata, walaupun banyak ditawarkan peluang pekerjaan di sini, namun Norma terpaksa menolaknya kerana perlu memberi perhatian kepada Hidayah dan lima lagi anaknya yang berusia 12 hingga tiga tahun.

"Memang mudah nak dapat kerja di sini, kilang-kilang pun banyak. Tapi Hidayah perlukan saya. Tidak mungkin saya akan tinggalkan Hidayah.

"Mujur ada yang memberikan saya kerja sebagai pembantu kedai makan berdekatan dengan rumah kakak saya. Jadi sewaktu saya bekerja bermula jam 6.30 pagi, saya tumpangkan Hidayah dan anak-anak di rumah kakak.

"Saya kerap jenguk Hidayah dan anak-anak di rumah kakak. Saya bersyukur ada kerja untuk membantu suami menyara anak-anak," katanya.


Harap bantuan kerusi roda khas

Melihat Hidayah hanya terbaring, timbul rasa sedih dan sebak di hati Norma.

Bagi Norma ,dia mahu membawa Hidayah keluar berjalan-jalan menghirup udara segar bersama adik beradik lain.

Namun, kesukaran buat Hidayah bergerak menyebabkan impian Norma terhalang.

"Jika Hidayah ada kerusi roda khas sudah tentu dia akan lebih gembira kerana boleh berjalan-jalan dan tidak terperap di dalam rumah sahaja. Saya harap ada pihak sudi mendapatkan bantuan kerusi roda khas untuk Hidayah," katanya.

Norma berkata, walaupun hanya mampu menyebut “ma”, namun Hidayah kerap memandang ke arah pintu rumah seakan-akan dia mahu keluar dan bermain dengan adik-adiknya yang lain.

"Setiap kali saya ceritakan keadaan laut yang biru, Hidayah akan tersenyum. Jika ada yang mendukung dan memanggil namanya, Hidayah seolah-olah memahami dan membalas dengan gelak tawa," katanya.

Sinar Harian 4 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment