April 22, 2016

Siapa dia?

Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Menguruskan jenazah tidak kira masa, termasuk pada awal pagi lumrah buat Mohd Yusni Ismail yang juga Pengarah Urusan MyKhairat.

Tidak hairan, banyak pengalaman berharga dilaluinya dan satu daripadanya yang masih terngiang-ngiang di ingatannya dan menjadi persoalannya sehingga hari ini adalah ketika menguruskan jenazah mangsa kemalangan dua tahun lalu.

Menurutnya, dia menerima kejutan yang sukar untuk dicari jawapannya apabila bertemu lelaki misteri yang memiliki wajah seiras jenazah yang diuruskan di hospital di sini.

Katanya, dia menerima satu panggilan pada 1.30 pagi meminta menguruskan jenazah lelaki yang meninggal dunia akibat kemalangan motosikal

“Ketika tiba di bilik mayat, saya bersama pembantu seperti biasa mencari waris untuk mendapatkan kebenaran bagi memandi dan menguruskan jenazah.

"Seorang demi seorang saya tanya untuk mencari waris arwah, tetapi yang berkumpul hanya kenalan arwah. Saya ternampak seorang lelaki bersendirian seperti dalam kesedihan dan menegurnya serta bertanya adakah dia ahli keluarga arwah.

"Lelaki itu dengan tenang menjawab tidak, tetapi dia mengaku bahawa dia adalah orang yang rapat dengan arwah dan meminta segera menguruskan jenazah berkenaan,” katanya.

Mohd Yusni berkata, lelaki itu turut memaklumkan bahawa keluarga arwah dalam perjalanan ke hospital dan segala kos akan dibayar oleh abang arwah.

“Yakin dengan lelaki itu, saya bersama pembantu terus ke bilik mayat bagi menguruskan jenazah.

“Sebaik membuka beg mayat saya terkesima apabila melihat wajah arwah sama seperti lelaki yang berbual dengan saya sebentar tadi.

"Beristighfar panjang saya dan seperti tidak percaya apa yang saya nampak, tetapi saya berfikir positif.

"Alhamdulillah urusan jenazah senang dan tidak mengambil masa yang lama. Kebiasaan, untuk menguruskan jenazah yang meninggal akibat kemalangan, kami terpaksa menggunakan lapisan plastik untuk mengelakkan darah menembusi kain kafan.

"Lain berlaku dengan jenazah lelaki berusia 20-an ini, mudah menguruskan tubuhnya kerana tiada setitik darah kelihatan ketika dikafankan dan kami tidak perku menggunakan plastik, sebaliknya hanya uruskan seperti jenazah biasa," katanya.

Katanya, selepas selesai menguruskan jenazah berkenaan, ahli keluarga arwah tiba, tetapi mereka bertanya kepada saya siapa yang memberi kebenaran untuk menguruskan arwah.

"Saya menjawab, ada lelaki yang seiras wajah arwah meminta saya uruskan dengan segera. Abang arwah terkejut dan mendakwa bahawa dia tiada adik-beradik lain selain beliau," katanya.

Katanya, dia mencari pemuda yang memberi kebenaran untuk menguruskan jenazah itu tetapi gagal.

"Ketika solat jenazah, saya tidak nampak lelaki berkenaan. Satu per satu saya lihat kerana musykil mengapa dia memberikan kebenaran sedangkan keluarga tidak mengetahui hal ini.

"Persoalan itu menjadi tanda tanya dan masih terfikir juga siapa yang menghubungi kami untuk menguruskan jenazah malam berkenaan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai MyKhairat, Yusni berkata, syarikat memberi perkhidmatan memudahkan urusan jenazah termasuk memandikan, kafan, pengebumian dan talkin serta urusan dokumentasi.

"MyKhairat beroperasi 24 jam dan menguruskan jenazah di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Kini, MyKhairat sudah mempunyai 27,000 ahli yang berdaftar dan untuk maklumat lanjut boleh layari www.mykhairatservices.com

myMetro 22 April 2016

0 comments:

Post a Comment