April 28, 2016

Sepak buaya sampai lepas

KEJADIAN itu disaksikan anggota bomba yang memberi bantuan dan membawa mangsa ke hospital. FOTO ihsan Bomba

Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my

Saratok: Tindakan lelaki menyepak kepala buaya yang menyambar kaki kirinya menyelamatkan nyawanya di Krango di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, mangsa berusia lingkungan 40-an yang dikenali sebagai Gadisman diserang buaya ketika membasuh kaki di tebing sungai selepas memasang pukat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, berkata, difahamkan ketika itu, seekor buaya tiba-tiba muncul dan menyambar kaki kiri mangsa.

Bagaimanapun, mangsa pantas menerajang kepala reptilia itu dengan kaki kanannya.

"Selepas terkena tendangan itu, buaya itu melepaskan gigitan di kaki mangsa.

"Namun, reptilia itu menyambar pahanya pula dan sekali lagi mangsa menerajang kepala buaya itu sehingga buaya itu melepaskan gigitannya," katanya.

Farhan berkata, kejadian itu disaksikan dua anggota bomba serta seorang anggota bomba bantuan yang sedang memancing berhampiran lokasi kejadian.

"Kedua-dua anggota bomba terbabit yang ketika itu tidak bertugas, segera memberi bantuan dan membawa mangsa yang cedera ke Hospital Saratok dengan menaiki bot" katanya.

Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sibu berikutan kecederaan parah pada paha dan kaki kirinya.

myMetro 28 April 2016



0 comments:

Post a Comment