April 25, 2016

Semangat kental

Nur Aini berkongsi kejayaan bersama bapanya, Salamat Ismail dan ibunya, Noor Aida Abu Hassan selepas majlis Istiadat Konvokesyen ke-84 di Dewan Agung Canselor UiTM, Shah Alam.

Icka S Hassan
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Walaupun mempunyai rasa rendah diri yang tinggi disebabkan kecacatan kaki sejak lahir, ia bukan penghalang untuk dirinya menyambung pelajaran sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah Sarjana Farmasi Praktis pada majlis Istiadat Konvokesyen ke-84 Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, semalam.

Malah, pengorbanan Nur Aini Salamat, 30, memandu sendiri sejauh 120 kilometer setiap hari dari Lembah Keramat, Kuala Lumpur, semata-mata untuk menghadiri kuliah di UiTM Puncak Alam meskipun menghidap penyakit Spina Bifida atau kecacatan tulang belakang, dianggap berbaloi apabila usahanya membuahkan kejayaan.

Menurut Nur Aini, penyakit yang dihidapinya menyebabkan dia tidak dapat berjalan dengan sempurna dan perlu menggunakan kerusi roda sebagai bantuan untuk bergerak, namun itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk berjaya.

“Pada mulanya saya risau kerana takut lambat sampai ke kelas disebabkan pergerakan yang terbatas, namun atas keprihatinan pengurusan universiti, satu laluan khas dibina untuk golongan seperti saya.

“Ini satu cabaran awal terpaksa ditempuh dalam enam bulan pertama ketika memulakan pengajian kerana perlu memikul komputer riba bersendirian untuk ke kelas, selain mendapatkan bahan rujukan di perpustakaan,” katanya.

Katanya, kemudahan khas disediakan untuk orang kurang upaya (OKU) di UiTM juga antara kunci kejayaan untuk menamatkan pengajian.

Dia yang mendapat Penilaian Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.72 berkata, dirinya bersyukur kerana pensyarah dan rakan seperjuangannya tidak pernah menganggap dirinya OKU hingga membuatkan dia berkeyakinan setiap kali pembentangan kertas kerja.

“Untuk perancangan seterusnya, saya akan mendaftar untuk menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang yang sama. Saya berharap kekurangan diri ini dapat dijadikan motivasi kepada semua supaya tidak berputus asa mengejar impian dan cita-cita,” katanya yang juga Pegawai Farmasi di Hospital Ampang.

Sementara itu, bapanya, Salamat Ismail, 64, dalam keadaan sebak melahirkan rasa gembira kerana anaknya berjaya menamatkan pengajian peringkat sarjana walaupun menghadapi pelbagai kesukaran.

myMetro 25 April 2016



0 comments:

Post a Comment