April 21, 2016

‘Sebelum saya pergi selamanya...’


Chen Shum menunjukkan dokumen kepada Gunasekaran.

SEREMBAN – "Saya teringin nak jumpa dia sebelum saya pergi buat selama-lamanya," luah seorang warga emas yang begitu merindui anak kandungnya selepas mereka terpisah lebih 30 tahun.

Chen Shum, 82, yang tinggal sebatang kara di Taman Bukit Emas, di sini berharap dapat bertemu anak bongsunya, Chen Kai Ming, 57 yang gagal dikesan sehingga kini.

Menurutnya, Kai Ming merupakan anak kedua dari dua beradik itu sudah berkahwin dan menetap di alamat terakhir di 0413, Blok 72, Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru.

“Sebelum ini, saya bersama isteri tinggal di Kampung Baru Rahang dan berpindah di taman ini sejak 10 tahun lalu.

“Saya ada cuba menghubungi dia untuk beritahu kami sudah pindah tetapi tak berjaya kerana nombor telefon tiada dalam talian,” katanya.

Sebelum ini, katanya, jirannya di Kampung Baru Rahang ada beritahu anaknya itu ada pulang ke kampung mencarinya tetapi dia sudah berpindah.

“Mungkin anak tidak tahu saya sudah pindah rumah. Saya sudah cuba cari dia di Johor tetapi tidak berjaya.

“Saya rindu dia, saya mahu jumpa dia kerana saya sudah tua,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Bagi meneruskan kelangsungan hidup, Chen Shum menggunakan kudrat yang ada dengan mencari kotak dan botol lusuh untuk dijual dengan pendapatan kira- kira RM80 hingga RM 100 sebulan.

"Saya tinggal di rumah ini seorang diri dan uruskan diri sendiri.

"Isteri saya kini tinggal di rumah kebajikan di Senawang sejak setahun lalu. Dia  tidak mampu berjalan kerana patah kaki akibat terjatuh.

"Anak sulung saya pula tidak mahu ambil berat tentang saya," katanya.

Sementara itu, Adun Senawang, P. Gunasekaran, berkata, beliau bersama pemimpin DAP akan berusaha mengesan anak Chen Sum.

Sinar Harian
21 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment