April 19, 2016

Salah faham

Kuala Kangsar: Keluarga seorang wanita yang meninggal dunia, kelmarin, terkilan dengan penyebaran berita terbabit di media sosial kerana kurang tepat dan mengelirukan banyak pihak.

Arwah Roshidah Nordin, 45, difahamkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh akibat mengalami pendarahan rahim.

Menurut adik arwah, Abdul Razak, 44, berita mengenai pemergian kakaknya itu memang benar dan menjadi tamparan besar buat keluarga terutama suaminya serta sembilan anak mereka termasuk kembar yang berusia antara 10 hari hingga 14 tahun.

Katanya, kesedihan dan tekanan dihadapi keluarga lebih parah apabila berita mengenainya tersebar di media sosial termasuk mengatakan bekalan air di rumah arwah dipotong hingga menyukarkan bayi kembar dimandikan selain hanya mempunyai satu botol susu untuk dikongsi kembar berkenaan serta tidak mempunyai lampin pakai buang manakala suami hanya bekerja sebagai pemandu lori.

Menurutnya, perkara itu tidak benar dan hanya salah faham berpunca daripada berita berserta gambar anak-anak arwah yang disalah ertikan hingga mengakibatkan keluarga terbabit menjadi tumpuan orang ramai termasuk yang menziarah hingga turut menyebabkan keluarga tidak berpeluang menguruskan perkara yang sepatutnya seperti mengunjungi pusara arwah kerana terlalu sibuk melayan tetamu.

“Perkara ini (viral) benda yang baik, tetapi disalah ertikan dan sebenarnya tiada masalah yang perlu dirisaukan mengenai segala kelengkapan, penjagaan anak-anak dan sebagainya kerana kami adik-beradik serta ahli keluarga lain masih mampu menguruskannya.

“Saya minta kepada pihak yang mensensasikan perkara ini agar menghentikannya serta-merta dan beri kami ruang dalam waktu yang sukar ini.

“Kami benar-benar mohon privasi dan kerjasama daripada semua pihak,” katanya ketika ditemui selepas majlis tahlil di rumah arwah di Changkat Jambu, Kati, semalam.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Chenderoh Datuk Zainun Mat Noor yang turut menziarah keluarga arwah berkata, pihaknya menggesa mana-mana pihak tidak mengambil kesempatan terhadap apa yang menimpa keluarga berkenaan.

“Kepada sesiapa yang ingin menyumbang, boleh berbuat terus kepada keluarga mangsa, tidak perlu ada pihak ketiga atau sebagainya kerana ia akan merumitkan keadaan,” katanya.

myMetro 16 April 2016

0 comments:

Post a Comment