April 19, 2016

Renjatan hari lahir

Gua Musang: “Kami sepatutnya keluar makan bagi menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-30 pada hari kejadian,” kata Raja Asri Raja Mat, 29, suami kepada Suhana Mohamad, 30, yang maut selepas terkena renjatan elektrik di rumahnya di Taman Desa Baiduri, Cheras pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.45 pagi, Suhana maut terkena renjatan elektrik ketika berbual menerusi telefon bimbit yang dicas di tempat kejadian.

Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Perasu, di sini, petang kelmarin.

Mangsa meninggalkan dua anak, masing-masing seorang anak lelaki dan perempuan berusia lima dan dua tahun.

Raja Asri berkata, sebelum kejadian arwah ada memintanya meluangkan masa bagi menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-30 pada hari kejadian.

18 Apr 2016


Tak sempat sambut hari lahir

GUA MUSANG - "Kami rancang nak sambut ulang tahun kelahirannya yang ke 30 pada Sabtu minggu depan, namun perancangan ALLAH SWT melebihi segalanya," kata suami kepada mangsa renjatan elektrik semasa membuat panggilan telefon bimbit yang sedang dicas di kediamannnya di Taman Desa Baiduri, Cheras.

Menurut Raja Asri Raja Mat, 29, yang juga anggota polis di Bukit Aman, arwah isterinya, Suhana Mohamad, tidak menunjukkan sebarang tanda atau sikap pelik sebelum meninggal dunia.

"Pada 15 April lalu, hari lahirnya. Saya ada bertanya, apa yang dia mahukan sebagai hadiah. Namun, arwah tidak mahu apa-apa, cukup sekadar meraikannya di restoran sahaja bersama anak-anak.

"Oleh kerana saya bekerja, saya berjanji untuk membawanya makan di luar bila saya cuti iaitu Sabtu depan. Pada malam sebelum arwah pergi, saya pulang jam 1 pagi.

"Selepas makan, saya terus tidur di ruang tamu. Pada paginya, anak sulung mengejutkan saya dari tidur dan memberitahu, 'Daddy, mummy daddy'. Namun, dia sudah tiada," katanya yang ditemui di Felda Perasu, di kediaman isterinya, di Perasu, dekat sini.

Tambah Raja Asri, dia sendiri buntu memikirkan kedua-dua nasib anaknya, Raja Adam Irfan, 5, dan Raja Nurin Alisa, 2, tanpa isterinya di sisi.

"Setiap sejam, anak sulung saya akan bertanya, 'Mana mummy?' Saya tak tahu nak jawab apa sebab dia masih kecil lagi. Hanya mampu bagitahu, 'mummy sakit'. Anak kedua pula asyik merengek kerana masih tidur bersama ibunya," katanya lagi.

Sementara itu, ibu mangsa, Fauziah Sulaiman, 55, memberitahu, dia terkilan kerana saat anak ketiganya daripada tujuh beradik itu menelefon pada malam sebelum meninggal, dia tidak sempat untuk berbual lebih lama.

"Saat arwah menelefon saya, saya dengar suara cucu-cucu saya tengah berkelahi. Jadi, saya suruh dia menelefon kemudian. Tak sangka pula dia pergi pada pagi itu.

"Malah, beberapa hari sebelum dia pergi, arwah ada menelefon abangnya dan meminta maaf. Arwah juga turut berkunjung ke rumah abangnya di ibu kota untuk menikmati masakan kakak iparnya.

"Saya sedih mengenangkan arwah kerana dia anak yang baik. Setiap tahun sempena Hari Raya Aidilfitri, dia tidak pernah terlupa untuk membelikan saya dan adik-adik pakaian baharu. Malah, setiap bulan, arwah mengirimkan duit perbelanjaan kepada saya," katanya lagi.

Arwah yang bekerja di Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu dibawa pulang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Perasu, malam semalam.

Sinar Harian 17 April 2016


0 comments:

Post a Comment