April 28, 2016

Polis cedera dilanggar kereta suspek

Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

Ipoh: Dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dihimpit dan dilanggar suspek yang menaiki kereta hingga mengakibatkan seorang daripadanya cedera kerana jatuh di Greentown di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 2.20 pagi itu, anggota polis turut melepaskan satu das tembakan ke arah kereta itu, namun suspek meloloskan diri.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ketika kejadian dua anggota terbabit sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan sebelum mengesan kereta yang berada dalam keadaan mencurigakan itu.

"Anggoto URB cuba menahan dan memeriksa kenderaan terbabit, namun pemandu kereta bertindak memecut laju kenderaan sebelum menghimpit satu daripada motosikal URB yang mengejar hingga jatuh.

"Susulan itu seorang lagi anggota URB terus mengejar suspek sejauh beberapa kilometer hingga ke Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands berhampiran Kampung Pergom, dekat sini dan suspek sekali lagi menghimpit kenderaan polis sebelum merempuh motosikal polis hingga jatuh serta menyebabkan anggota berusia 31 tahun itu cedera pada tangan dan kaki," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, anggota polis yang terjatuh itu kemudian bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah kendeeaan berkenaan, namun suspek berjaya melepaskan diri.

"Kira-kira 5 pagi seorang lelaki berusia 25 tahun membuat laporan polis mendakwa kereta yang diletakkan di kawasan Greentown dipercayai dicuri.

"Polis akan siasat daripada semua aspek termasuk laporan yang dibuat lelaki berkenaan sama ada benar kenderaannya dicuri," katanya.

myMetro 28 April 2016



0 comments:

Post a Comment