April 21, 2016

Penuntut politeknik maut akibat dilanggar lari

Yaakob melihat mayat anaknya ditutupi kain selepas terbabit dalam kemalangan. Gambar kecil : Abdul Qayyum Maula

TAMPIN – Seorang penuntut Politeknik Port Dickson (PPD) maut selepas dilanggar lori minyak dalam insiden langgar lari di Kilometer 4, Jalan Tampin-Gemas, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, mangsa, Abdul Qayyum Maula Yaakob, 20, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave 125s dipercayai dalam perjalanan pulang dari rumah rakannya di Taman Sri Repah ke rumahnya di Taman Gunung Mas.

Menurut ayah mangsa, Yaakob Abd Hamid, 61, sehari sebelum kejadian, anak bongsunya itu ada menyatakan untuk menziarahi pusara datuk dan neneknya di Tanah Perkuburan Islam Kuala Ina.

"Arwah tanyakan pada saya dan ibunya ada air Yasin atau tak kerana mahu ziarah pusara datuk dan neneknya.  Kali terakhir arwah ziarah kubur berkenaan pada Aidilfitri tahun lalu.

"Bagaimanapun hasrat arwah tak kesampaian. Jika diikutkan, arwah sedang menunggu untuk pulang ke politeknik susulan kertas akhir peperiksaan bagi pengajian semester ketiganya dalam Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pada Sabtu ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Wooi Kooi Cheang berkata, mangsa terjatuh di atas jalan dan dilenyek selepas bergesel dengan lori minyak.

"Mangsa maut akibat cedera parah di kepala dan badan.

"Justeru, saksi diminta tampil ke balai polis atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Yasmin Beevee Mohamed Ali di talian 06-4411221 atau 06-4411222," katanya.

Sinar Harian 14 April 2016

0 comments:

Post a Comment