April 19, 2016

Pelajar UPSI koma 2 tahun meninggal

Alor Gajah: “Mungkin arwah kasihan melihat saya dan ibunya menjaganya selama dua tahun ketika dia terlantar koma. Saya yakin Allah SWT menyediakan tempat yang baik untuk arwah di alam barzakh,” kata Shamsuddin Ismail, 57, bapa kepada Suzairi Shamsuddin, 22, yang meninggal dunia kelmarin selepas koma selama dua tahun akibat kemalangan.

Shamsuddin berkata, anaknya yang juga pelajar Jurusan Sains Matematik Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak, terbabit dalam kemalangan selepas motosikal ditunggang dilanggar kereta di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Senawang, Negeri Sembilan pada 4 April 2014.

Kemalangan menyebabkan anak kelima daripada enam beradik itu koma selama dua tahun akibat mengalami pendarahan dalam kepala, terdahulu Suzairi, dirawat di tiga Hospital iaitu Seremban, Hospital Melaka dan Hospital Kem Terendak selama tiga bulan.

Namun, atas nasihat doktor arwah di bawa pulang ke rumah mereka di Kampung Londang, Masjid Tanah, di sini, berikutan itu Shamsuddin dibantu isteri Hamidah Ali, 54, dan empat lagi anak mereka bergilir-gilir menjaga Suzairi.

Katanya, antara rutin harian dia dan keluarganya adalah mengelap badan, menukar lampir dan baju, serta memberikan Suzairi, minum susu menggunakan saluran tiub khas ditebuk masuk ke dalam lehernya.

“Kelmarin tanggal 5 April, iaitu selepas genap dua tahun dia terlantar koma di rumah arwah pergi meninggalkan kami semua untuk selama-lamanya. Saya dan isteri tidak pernah merungut sepanjang menjaga arwah biar pun kami tidak boleh ke mana-mana kerana perlu berada di sisinya sepanjang masa,” katanya.

myMetro 7 April 2016 @ 9:03 AM



0 comments:

Post a Comment