April 19, 2016

Meninggal dunia atas motosikal

Mangsa ditemui mati oleh orang awam berhampiran Empang Batu Kampung Sepri.

REMBAU – Seorang lelaki ditemui tidak bernyawa atas motosikalnya yang di parkir berhampiran Empang Batu Kampung Sepri, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Jual Ariffin Ismail, 63, seorang pesara tentera dan menetap di Desa Permai Pedas dipercayai baru sahaja selesai mandi sungai di kawasan berkenaan.

Menurut pengawal keselamatan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Amran Maamor, 44, ketika kejadian, dia seperti biasa berada di pos kawalan pintu Empangan Ulu Sepri sebelum didatangi seorang remaja memaklumkan perkara itu.

"Dia suruh saya segera tengok sama ada orang itu hidup atau dah mati. Saya segera ke lokasi berkenaan dan melihat keadaan mangsa.

"Saya juga katakan pada remaja berkenaan untuk tidak berbuat apa-apa dan tunggu sehingga polis tiba kerana mangsa kelihatan sudah tidak bernyawa,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Amran berkata, sudah lebih empat tahun dia bertugas di pos kawalan Empangan Ulu Sepri dan kejadian seumpama itu baru pertama kali berlaku.

Menurutnya, lokasi berkenaan sememangnya sering menjadi tumpuan penduduk setempat dan berdekatan untuk mandi-manda.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan tiada unsur-unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'far (HTJ) di Seremban untuk proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian," katanya.

Sinar Harian 12 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment