April 19, 2016

Mayat wanita OKU ditemui

Mohd Khaidir menunjukkan tempat kejadian lemas di Kampung Pauh. Gambar kecil: Allahyarham Normah.

DANGAR – Mayat wanita kurang upaya (OKU) ditemui hampir reput dalam parit air di Kampung Pauh, Dangar Pasir Mas, jam 5 petang, dua hari lalu.

Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, mangsa dikenali Normah Alias, 58, ditemui berpakaian baju kurung dalam keadaan tertiarap oleh penduduk dekat sini.

Siasatan awal katanya, Normah Alias, yang juga ibu tunggal dipercayai lemas, dan meninggal dunia tujuh hari lalu. Tiada unsur-unsur jenayah ditemui.

Sementara itu, adik mangsa, Zulkifli Alias, 38, berkata, kali terakhir Normah ditemui oleh penduduk kampung, adalah pada tengahari 2 April lalu.

Menurutnya, kakak sulung daripada lapan beradik itu sepatutnya ke klinik kesihatan dekat sini bagi mendapatkan rawatan penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Selepas menunggu hampir lewat malam, kami mula risau dengan keselamatannya kerana arwah tak pernah keluar selewat ini. Kami mula cari dia di hospital, kedai makan, rumah saudara dan kawasan-kawasan yang sering dikunjungi, malah turut mengadakan solat hajat di masjid serta rumah,” katanya.

Hanya selepas pelbagai usaha mencarinya gagal, Zulkifli berkata, mereka buat laporan polis di balai polis terdekat, dua hari selepas kehilangannya.

Sementara itu, penduduk Kampung Pauh, Mohd Khaidir Mohd Syukri, 35, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan adiknya.

Menurutnya, niat adiknya, Mohd Solihim, 28, mahu menangkap ikan di belakang rumah terbantut apabila menemui objek yang mencurigakan disusuli dengan bau busuk.

Sinar Harian 14 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment