April 19, 2016

Maut dirempuh bas ketika bertugas

GEORGETOWN - Seorang petugas kebersihan maut apabila dilanggar bas di Terminal A Rapid Penang di Weld Quay di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa, Mehran Shah Abdul Latif Din, 35, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menurutnya, dia dilanggar ketika sedang menjalankan tugas di terminal bas berkenaan selepas pemandu bas tidak menyedari kehadiran mangsa di tempat kejadian.

“Kejadian berlaku pada jam 9.30 pagi ketika mangsa sedang menjalankan tugasnya di tempat meletak bas. Mangsa dilanggar sebuah bas dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun. Difahamkan, pemandu bas terbabit tidak menyedari kelibat mangsa yang berada di kawasan itu lalu merempuhnya.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tersepit di antara dua bas membabitkan bas yang melanggarnya dengan sebuah lagi bas di hadapan,” katanya semalam.

Mangsa yang tinggal di Bayan Baru itu kemudiannya dikejarkan ke HPP untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia ketika sedang dirawat di zon merah HPP.

Sinar Harian 9 April 2016

0 comments:

Post a Comment