April 19, 2016

Maut dihempap besi satu tan

Besi ini terlucut dari ikatan dan menghempap mangsa. (Kanan: Mangsa yang parah di kepala dan beberapa bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian.)

BAYAN LEPAS - Seorang pekerja di tapak pembinaan maut apabila besi seberat satu tan terjatuh ke atasnya dari sebuah lori petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Siti Norsalawati Saad berkata, mangsa, Chong Beng Tong, 48 disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian selepas kejadian itu.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia kerana parah di kepala dan beberapa bahagian badannya selepas dihempap besi berkenaan.

"Kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 petang ketika apabila tayar kanan lori yang membawa muatan besi itu terjatuh di dalam lubang di pintu masuk tapak projek pembinaan Batu Maung di sini.

"Lori berkenaan tidak dapat bergerak kerana muatannya yang berat menyebabkan mangsa meminta bantuan jentolak untuk mengangkat muatan besi bagi meringankan beban lori.

"Ketika kerja memindahkan besi-besi itu, salah satu daripadanya terlucut daripada ikatan tali lalu menghempap mangsa. Mangsa mendapat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

"Mayat dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, setakat ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sinar Harian 15 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment