April 19, 2016

Mangsa tak sempat mengelak

Keadaan motosikal mangsa yang remuk akibat bertembung dengan kereta yang datang dari arah bertentangan

BATU PAHAT - Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan dalam kemalangan di Kilometer 140, jalan Johor Bahru–Melaka, berhampiran Kampung Parit Sempadan, Semerah.

Dalam kejadian jam 7.45 malam kelmarin, mangsa, Muhammad Nizam Rusdi, 31, maut akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Toyota Altis dari arah Semerah, hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan.

“Bagaimanapun, mangsa yang datang dari arah Batu Pahat gagal mengelak, lalu bertembung dengan kereta terbabit.

“Akibat rempuhan, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk proses dokumentasi dan bedah siasat sebelum dituntut waris.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 15 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment