April 19, 2016

Lelaki ditemui mati lemas di Pantai Kampung Juara

KUALA ROMPIN – Seorang lelaki ditemui lemas di pantai Kampung Juara, Pulau Tioman sekitar jam 6.20 pagi tadi selepas dilaporkan hilang di pantai sama ketika berenang petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Tang Rin Fong, 46, dari Johor telah masuk ke Pulau Tioman bersama rakan-rakan sekerjanya pada 15 April lalu untuk menghadiri seminar dan beriadah.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah, berkata, seorang rakan mangsa (pengadu) menyedari kehilangannya pada petang semalam apabila beliau didapati tidak pulang ke bilik selepas melakukan aktiviti di pantai sejak jam 5 petang.

Menurutnya, pengadu turut memberitahu ada melihat mangsa kali terakhir sekitar jam 6 petang sedang berenang di perairan pantai Kampung Juara kira-kira 100 meter dari persisir pantai dan telah meminta pertolongan pihak resort serta penduduk untuk mencari namun gagal.

“Balai Polis Pulau Tioman telah menerima satu laporan polis kehilangan seorang lelaki di pantai Kampung Juara dipercayai lemas dan meminta pasukan Marin Wilayah 3 untuk bantuan SAR dengan menggunakan bot serta unit selam untuk mengesan mangsa.

“Setelah operasi SAR digerakkan, akhirnya mayat mangsa yang hilang telah ditemui oleh penduduk kampung dan rakan sekerjanya sekitar jam 6,20 pagi tadi di kawasan mangsa dilihat kali terakhir berenang,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat.

Sinar Harian 17 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment