April 19, 2016

Khabar duka New Haven

HALIMAH menatap gambar lama Abdul Hisham.

Seremban: “Mak cik tidak tahu kenapa teringat kepada dia (arwah) semalam sehingga mak cik menangis teresak-esak. Mak cik minta cucu ambilkan gambar arwah untuk tatap mukanya sebagai lepaskan rindu.

“Mak cik tidak sangka itu petanda arwah akan pergi. Meskipun sudah 32 tahun kami tidak berjumpa, tetapi sebagai ibu sangat berharap dapat berjumpanya kali terakhir,” kata Halimah Mohd Tahir, 80, ibu kepada Abdul Hisham Abdul Hamid, 52.

Abdul Hisham dikatakan meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di New Haven, Amerika Syarikat, pada tengah hari kelmarin (waktu tempatan).

Halimah berkata, dia tidak berjumpa arwah anak bongsu daripada empat beradik itu sejak 1984 selepas anaknya itu dihantar ke negara berkenaan untuk menyambung pengajian dalam jurusan Pengurusan Perniagaan di Universiti Ohio.

Ketika ditanya mengenai kematian anaknya itu, Halimah berkata, dia dimaklumkan oleh seorang bekas rakan sekelas anaknya yang datang ke rumah kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

“Saya terkejut mendapat perkhabaran itu, namun saya reda. Saya tidak menyangka selepas lebih 32 tahun tiada khabar berita mengenainya tetapi hari ini (semalam) saya terima berita kematiannya.

“Sebagai ibu pastinya saya sedih dan terkilan tidak dapat menatap wajah dan mendengar suaranya buat kali terakhir,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bemban, Mambau, di sini, malam tadi.

Persoalan mengenai kenapa arwah tidak mahu pulang dan menghubunginya selepas menyambung pengajian di luar negara masih tiada jawapan, malah Halimah mendakwa tidak pernah berselisih faham dan tersinggung perasaan.

Katanya, dia dan arwah suami serta tiga anaknya yang lain pernah berusaha mencari arwah Abdul Hisham tetapi gagal.

“Saya pernah bermimpi ada orang datang berjumpa saya beritahu supaya saya ke sana (Amerika Syarikat) membawa Abdul Hisham pulang baru arwah akan pulang.

“Tidak pernah sehari pun saya tidak ingat kepadanya, saya hanya mampu berdoa Allah menjaga keselamatan dan memberi kesihatan yang baik kepadanya,”katanya.

Sementara itu, kakak arwah, Hamidah, 54, berkata dia dan ibunya berharap dapat melihat arwah buat kali terakhir sama ada jenazah dibawa pulang ke Malaysia atau mereka ke negara berkenaan sebelum jenazah dikebumikan.

“Saya berharap kerajaan atau pihak tertentu dapat membantu kami menguruskan proses itu. Kami sekeluarga teringin sangat melihat wajah adik kerana selama ini saya menyangka adik sudah tiada tetapi baru semalam (kelmarin) arwah meninggal,”katanya sedih.

myMetro 17 April 2016



0 comments:

Post a Comment