April 6, 2016

Kes langgar lari: Polis kesan pemandu treler

BANDAR SERI JEMPOL - Polis masih mengesan pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan langgar lari membabitkan dua beranak di Kilometer 11 Jalan Bahau-Kemayan, dekat sini, tengah malam Isnin lalu.

Mangsa yang cedera parah adalah pemandu kereta Proton Saga iaitu Norizaa Tihanis Hamzah, 24, serta ibunya, Halimah Sulaiman, 66.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, setelah kemalangan berlaku, pemandu treler melarikan diri bersama kenderaannya dan sehingga kini tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.

“Oleh itu, kami memerlukan saksi kejadian untuk tampil menyalurkan maklumat,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, dua beranak itu kini telah dipindahkan ke Hospital Tuanku Najihah, Kuala Pilah untuk rawatan lanjut.

Menurut sumber keluarga mangsa, Halimah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), susulan patah di leher dan tulang rusuknya.

“Manakala, anaknya yang cedera di kepala akan membuat pembedahan membuang kaca dalam kepala,” katanya.

Sinar Harian, semalam melaporkan dua beranak cedera parah selepas kenderaan mereka naiki dirempuh sebuah treler di lampu isyarat simpang empat Bandar Seri Jempol.

Sinar Harian 31 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment