April 26, 2016

Kasih sejati kakak ipar

Majidee yang mengalami kaki untut dibantu kakak iparnya, Asiah di rumah mereka di Kampung Barokhas.

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Padang Terap: Asiah Abdullah, 43, yang juga ibu tunggal empat anak menunjukkan kasih sayang sejati dengan mengambil tanggungjawab menjaga adik ipar lelaki yang kini terlantar akibat penyakit untut atau kaki gajah pada kaki kiri sejak dua tahun lalu.

Sebelum ini, adik iparnya, Majidee Abu Bakar, 32, dijaga bersama suami di rumah mereka di Kampung Barokhas, Jalan Pedu di sini, namun arwah suaminya meninggal dunia pada Disember tahun lalu.

Sejak itu, Asiah dengan bantuan enam adik iparnya mengambil tanggungjawab menjaga Majidee.

Asiah berkata, dia mula menjaga Majidee selepas adik iparnya yang memiliki berat badan 280 kilogram (kg) tidak boleh berjalan akibat ketumbuhan 20kg pada kakinya semakin membesar.

Katanya, Majidee menghidap masalah itu sejak berusia 16 tahun selepas mendakwa digigit nyamuk ketika melakukan aktiviti sekolah di hutan.

“Ketika itu kaki kirinya membengkak sedikit namun keadaan semakin teruk dalam tempoh dua tahun lalu, ditambah pula dengan berat badannya. Ia menyebabkan Majidee terlantar di atas katil, malah perlu disuap ketika makan.

“Sebelum ini Majidee boleh berjalan seperti biasa dan turut mengusahakan kedai runcit di depan rumah untuk mencari rezeki, namun kini keadaan berubah apabila dia tidak boleh berjalan akibat masalah berat badan serta penyakit terbabit.

“Kerana itu kami terpaksa meminta bantuan bomba dan penyelamat untuk membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) II bagi mendapatkan rawatan susulan, 28 Mac lalu. Majidee baru saja dibenarkan keluar wad, semalam (kelmarin),” katanya.

Asiah yang dikurniakan anak berusia lapan tahun hingga 19 tahun berkata, dia menganggap Majidee seperti adik kandung membuatkan dia bersedia menjaga lelaki itu.

Katanya, anak lelaki sulungnya kini mengambil alih tugas Majidee untuk menjaga kedai runcit yang terletak 80 meter dari rumah mereka bagi menyara kehidupan keluarga.

“Majidee pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Padang Terap, tahun lalu tetapi permohonannya ditolak. Kami amat memerlukan bantuan kewangan kerana perlu membeli susu khas dan lampin pakai buang setiap bulan untuk Majidee,” katanya.

Menurut Asiah, kaki kiri Majidee juga perlu dicuci setiap masa dengan ubat yang dibekalkan hospital bagi mengelak jangkitan kuman.

Orang ramai yang bersimpati dengan nasib Majidee boleh menyalurkan bantuan kewangan dengan menghubungi Asiah di talian 013-4822176.

myMetro 26 April 2016



0 comments:

Post a Comment