April 19, 2016

Kasih murni seorang suami

Azmi (kanan) menenangkan anaknya ketika Dr Mohd Zulkifli (dua, kanan) dan Muhammad (empat, kanan) membantu ibunya melakukan senaman ringkas.

KOTA BHARU - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Itulah kasih sayang dan pengorbanan seorang suami, Azmi Jusoh, terhadap isterinya, Rozaimi Mat Rosli, 30, yang menderita akibat sakit saraf sejak penghujung tahun lalu.

Pilu hati seorang suami apabila melihat isteri tercinta yang sebelum ini sama-sama gigih mencari rezeki demi membesarkan dua anak mereka kini terlantar, makan bersuap dan tidak selincah seperti dahulu.

Berkongsi kisah hidupnya, Azmi, 43, yang tinggal di Kampung Uda, Kubang Kerian itu memberitahu, isterinya diserang penyakit saraf bermula Disember tahun lalu selepas sering muntah dan pening serta kerap kali kejang otot, kemudiannya disahkan terdapat jangkitan kuman pada otak.

“Dulu dia yang uruskan keluarga, saya dan anak-anak, dia jual pisang goreng dan air di tepi jalan utama. Saya pula bekerja di kedai makan. Tapi sekarang kedua-dua punca rezeki kami sekeluarga sudah betul-betul hilang,” luahnya.

Azmi berkata, demi menjaga isterinya dengan sepenuh kasih sayang, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu di kedai makan walaupun sedar keluarganya dihimpit kesusahan.

“Kami tidak sendirian. Nasib kami kini mendapat simpati penduduk kampung dan kadangkala adik-beradik yang bantu, nak guna teksi ke hospital pun tidak mampu harapkan bantuan keluarga, tetapi sampai bila kami perlu begini.

 “Sekarang dia tidak boleh bergerak macam biasa, kalau boleh merangkak saya tidak akan berhenti kerja dah,  tapi saya kena jaga dia sepenuh masa, makan kena suap, ubat pula dipaksa makan setiap hari,” katanya yang bersyukur atas keprihatinan pihak terhadap keluarganya.

Dugaan juga bagi Azmi, apabila dia perlu menjaga dua anaknya, Norhidayah Rozaimi, 10, belajar di sekolah pendidikan khas dan anak bongsunya berusia lima tahun, Mohd Lutfi kini bersikap agak agresif disebabkan keadaan ibunya yang tidak sihat.

“Setiap kali ibunya merengek sakit ketika orang sentuh, anak bongsu saya akan agresif, marah-marah. Mungkin dia fikir orang sedang sakitkan ibu dia,” katanya.

Azmi berkata, sekurang-kurangnya RM1,000 diperlukan sebulan untuk perbelanjaan persekolahan anak dan juga isterinya, termasuk juga perlu mencari RM109 bagi bayaran balik pinjaman Amanah Ikhtiar.

“Saya juga berterima kasih kepada Datuk  yang sampaikan kerusi roda. Bolehlah kami guna untuk ke hospital. Boleh lah bawa dia keliling kampung,” katanya.

Terdahulu, dia menerima kunjungan rombongan Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian, Datuk Muhammad Abdul Ghani dan Pensyarah Kanan Terapi Carakerja, Dr Mohd Zulkifli Abd Rahim dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia.

Simpati dengan nasib keluarga itu, Muhammad selaku pemimpin di kawasan tersebut berusaha untuk mendapatkan bantuan sara hidup dan keperluan lain boleh meringankan beban mereka.

Dalam pada itu, Dr Mohd Zulkifli berkata,  jika penyakit itu dibiarkan akan  membentuk kepada komplikasi kecacatan,  menyebabkan dia tidak dapat menggerakkan anggotanya.

“Amat penting dia mendapat latihan pergerakan dan makanan  yang  bersesuaian untuk kesihatan. Saya juga gembira dengan inisiatif bantuan daripada pemimpin dan penduduk di sini.

“Dan ini memang sewajarnya dilakukan kerana kita yang perlu turun untuk bantu mereka dan bukannya golongan yang kurang upaya ini tampil mencari kita. Sememangnya mereka tidak mampu,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan dengan menghubungi Azmi di talian 011-35216275 atau menerusi akaun Bank Islam isterinya bernombor 03018021364112.

Sinar Harian 5 Apr 2016


0 comments:

Post a Comment