April 25, 2016

Jatuh jejambat lepas diseret



Petaling Jaya: Seorang lelaki maut dalam keadaan menyayat hati apabila diseret sejauh kira-kira 100 meter sebelum terjatuh dari jejambat setinggi kira-kira enam meter di Lebuhraya Damansara- Puchong (LDP) berhampiran kilang Western Digital di sini, pagi semalam.

Kemalangan jam 7.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Muhammad Rozmizifahmi Rizdi, 25, yang menunggang motosikal maut di lokasi kejadian.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa yang beralamat di Taman Semarak, Sungai Petani, Kedah, menunggang motosikal bersendirian dari arah Damansara menghala ke Puchong.

“Ketika tiba di lokasi, sebuah kereta dari arah sama secara tiba-tiba tidak sempat mengelak mangsa sebelum melanggar motosikal yang ditunggang dari arah belakang.

“Akibat daripada itu, mangsa terjatuh di atas jalan di jejambat berkenaan sebelum kereta yang melanggarnya menyeret mangsa bersama motosikalnya sejauh kira-kira 100 meter sebelum mangsa terjatuh dari jejambat.

“Mangsa cedera parah di kepala dan patah kaki kiri. Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

“Waris mangsa juga sudah dihubungi untuk membuat pengecaman mayat dan urusan pengebumian,” katanya.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

myMetro 25 April 2016

0 comments:

Post a Comment