April 19, 2016

Ingatan terakhir

Sepang: Pesanan 'jangan seronok sangat, Tuhan tarik sekejap saja...' antara ingatan terakhir disampaikan Allahyarham Mohamad Ezzaq Azraf Azumi, 23, dan Allahyarham Mohamad Azfar Tahir, 23, ketika bercuti bersama tiga rakan mereka di air terjun di Cunca Wulang, Flores, Nusa Tenggara Timur, Indonesia.

Dalam kejadian 11.30 pagi Sabtu lalu, kedua-dua sahabat baik itu hilang selepas terjun di air terjun berkenaan dan mayat mereka ditemui semalam masing-masing pada waktu pagi dan petang.

Seorang daripada sahabat mereka, Mohammad Imran Had Helmy Had, 24, berkata, pesanan berkenaan sering digunakan mereka memandangkan selalu bercuti bersama termasuk ke luar negara.

Malah, katanya, sepanjang seminggu berada di negara itu, kedua-dua sahabat terbabit sentiasa ceria dan gembira seperti kebiasaan serta tidak menunjukkan sebarang perubahan.

"Sewaktu kejadian saya berada di tebing kerana tidak tahu berenang manakala, empat rakan termasuk Mohamad Ezzaq Azraf dan Mohamad Azfar terjun ke dalam sungai.

"Mohamad Azfar terkapai-kapai serta meminta tolong dan rakan saya yang lain termasuk Mohamad Ezzaq Azraf serta pemandu pelancong warga Indonesia cuba menyelamatkannya," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini hari ini.

Dia berkata, dua rakannya iaitu Mohamad Qayyum Pirdous, 23, dan Muhammad Nurhafiz Nor Adzmi, 23, kemudian menyelamatkan diri, manakala Mohamad Ezzaq Azraf tetap cuba menyelamatkan Mohamad Azfar.

"Bagaimanapun, kedua-duanya gagal diselamatkan termasuk pemandu pelancong yang bersama kami," katanya.

Terdahulu, jenazah Mohamad Ezzaq Azraf selamat tiba di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 7.15 malam serta dibawa menuju ke Masjid Al-Khairiah Taman Sri Gombak untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Bukit Permata Sri Gombak.

Jenazah Mohamad Azfar tiba ke tanah air esok dijangka pada 7.05 malam.

myMetro 18 April 2016



Jenazah Rakyat Malaysia Lemas Di Indonesia Selamat Dikebumikan

Mohamad Azfar Tahir (kiri) dan Mohammad Ezzaq Azumi lemas ketika mandi di air terjun Cunca Wulang di daerah Mibeliling di Flores, Indonesia, Sabtu lalu.

NADIRAH H. RODZI
editor@mstar.com.my

BATU CAVES: Suasana suram menyelubungi majlis pengebumian Mohammad Ezzaq Azumi, salah seorang daripada dua mangsa yang lemas ketika mandi di air terjun Cunca Wulang di daerah Mibeliling di Flores, Indonesia, Sabtu lalu.

Ibu kepada Mohammad Ezzaq, Nik Rozaini Nik Mohd Nawi, 46, berkata, kali terakhir dia bercakap dengan anak lelakinya berusia 23 tahun itu adalah dua hari sebelum mendapat tahu anaknya itu telah hilang.

"Kami masih mengharapkan yang terbaik sehingga kami diberitahu bahawa mayatnya telah ditemui pada hari Ahad," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Gombak pada malam Isnin.

Nik Rozaini berkata beliau enggan untuk membenarkan anaknya pergi bercuti ke sana tetapi diberi jaminan bahawa segala-galanya akan selamat.

"Dia beritahu saya bahawa dia telah merancang perjalanan ini kira-kira setahun lalu dan beberapa kali telah menangguhkannya.

"Melihat dia sangat teruja, saya akhirnya memberi restu. Saya menerima ini sebagai sebahagian daripada ketentuan Allah untuk kami," katanya.

Mohammad Ezzaq, anak kedua daripada dua adik-beradik itu dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Taman Bukit Permata kira-kira pukul 10.30 malam.

Sementara itu, rakan mangsa, Mohamad Azfar Tahir, 23, yang juga lemas dalam kejadian itu, akan dikebumikan pada Selasa.

Mereka berdua bersama-sama dengan dua  lagi rakan yang lain, Mohamad Qayyum Pirdous, 23, dari Perak, dan Mohamad Imran Helmy Had, 23, dari Kuala Lumpur, berlepas ke Indonesia pada 11 April.

Difahamkan Azfar terus berenang sebaik sahaja mereka tiba, dan apabila dia tidak timbul, pemandu arah mereka, Wenceslaus Hendro Agung terjun ke dalam kolam untuk mencarinya.

Walau bagaimanapun, apabila Wenceslaus juga tidak berjaya, Mohammad Ezzaq pula terjun ke kolam untuk membantu.

Akhirnya, ketiga-tiga hilang di bawah permukaan air.

Qayyum, yang menyaksikan apa yang berlaku, pergi mendapatkan bantuan dan berjaya menghubungi polis.

Usaha mencari dan menyelamat bermula pada pukul 3 petang Sabtu tetapi dihentikan pada pukul 5 petang apabila hari semakin gelap.

Operasi itu disambung semula pada pukul 6 pagi Ahad dan semua mayat ditemui pada pukul 1 tengahari.

18 April 2016


Pemergian Azfar Satu Tamparan Buat Keluarga

Nik Rozaini Mohd Nawi, ibu kepada mangsa lemas di Indonesia, Allahyarham Ezzaq Azraf Azumi menunjukkan gambar Allahyarham sebelum urusan pengebumian di Taman Bukit Permata. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR – “Pemergian adik merupakan tamparan hebat buat kami sekeluarga,” kata Muhammad Azman Tahir.

Abang sulung kepada Allahyarham Mohamad Azfar yang merupakan antara tiga mangsa yang lemas di kawasan air terjun Cunca Wulang, Flores, Indonesia, Sabtu lepas, berkata keluarga mereka sememangnya terkejut dengan insiden membabitkan adik bongsunya itu.

“Sepatutnya, mereka (adik dan rakannya) balik semalam, namun terkilan dengan keadaan adik yang balik dengan cara begini….apa pun kami reda dengan pemergiannya,” kata Muhammad Azman, 44, yang tidak menyangka percutian adiknya bersama rakan di Indonesia sejak 11 April lepas berakhir dengan tragedi.

Menyifatkan adik bongsunya itu sebagai seorang yang periang dan mempunyai ramai kenalan, Muhammad Azman berkata sebelum berlepas ke negara jiran tersebut, Allahyarham amat teruja untuk mengikuti percutian yang dirancang bersama rakannya.

“Sebelum ini, kami sekeluarga selalu bercuti bersama, tetapi kali ini adik terlalu gembira untuk menghabiskan cutinya kali pertama bersama rakan sekolahnya dahulu,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya, di Kampung Padang Balang, Sentul, di sini hari ini.

Beliau berkata Allahyarham Mohamad Azfar, 23, yang tinggal bersama keluarga sangat rapat dengan ibu dan kakaknya.

“Ibu saya paling terkejut apabila mendapat perkhabaran insiden yang menimpa adik pada Sabtu lepas,” katanya.

Menyentuh keakraban adiknya dan Allahyarham Mohamad Ezzaq Azraf Azumi, 23, yang turut terkorban dalam tragedi itu, Muhammad Azman berkata kedua-duanya merupakan sahabat karib sejak dari sekolah rendah lagi.

Pada Sabtu lepas, kedua-dua mangsa lemas ketika mandi di kawasan air terjun itu bersama pemandu pelancong, Wenseslaus Hendro Akung, yang cuba menyelamatkan mereka.

Muhammad Azman berkata Allahyarham Mohamad Azfar baru bekerja di sebuah syarikat swasta sejak setahun lalu selepas menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Kuantan.

Jenazah Mohamad Azfar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Gombak pada 11 malam tadi.

Jenazah Mohamad Azfar dan jenazah rakannya Mohamad Ezzaq Azraf Azumi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pukul 7.05 malam tadi.- BERNAMA

Apr 19, 2016

0 comments:

Post a Comment