April 19, 2016

Ibu dan bayi 7 bulan ditemui mati

Rawang: Ibu berusia 33 tahun bersama bayinya berusia tujuh bulan ditemui mati di dalam rumah mereka di Taman Rawang Perdana 2 di sini, 9 pagi tadi.

Mayat dua beranak itu ditemui bapa mentua mangsa yang datang menziarah mereka.

Dia terkejut apabila pintu rumah berkenaan dalam keadaan terbuka.

Menurut jiran mangsa, bapa mentua wanita itu menjerit selepas menemui menantu perempuan bersama cucunya itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Saya terdengar pakcik (bapa mentua) itu menjerit sebelum berlari untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku.

"Pakcik itu menunjukkan anaknya yang berada di dalam rumah terbaring di lantai manakala cucunya berusia enam bulan terbaring tidak sedarkan diri di atas katil.

"Keadaan rumah seakan-akan dipecah masuk kerana berselerak dan pintu terbuka," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia terus menghubungi polis untuk melaporkan kejadian itu.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.30 pagi sebelum ke lokasi kejadian.

"Polis menjumpai seorang wanita tempatan bersama anaknya terbaring di lantai dan atas tilam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pihak Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) sudah ke lokasi kejadian untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

myMetro 14 April 2016


Cemburu punca bunuh isteri, anak

Kuala Lumpur: Cemburu isteri menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain, seorang pemandu lori membunuh isterinya itu serta bayi mereka dalam kejadian di Taman Rawang Perdana 2, Rawang, pada 14 April lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, suspek dipercayai membunuh isteri dan anak perempuannya selepas mendapat tahu isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

"Motifnya sudah jelas dan suspek akan didakwa minggu depan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini.

Suspek kini direman bermula 15 April hingga Rabu ini dan jika disabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Wanita berusia 34 tahun itu dan bayinya yang berusia tujuh bulan ditemui mati di rumah mereka kira-kira 10 pagi. Mangsa ditemui terbaring di tepi katil manakala bayinya di atas katil dalam sebuah bilik rumah teres dua tingkat berkenaan. - BERNAMA

myMetro 22 April 2016


Pemandu lori didakwa bunuh isteri, anak

Sarah Zulkifli

Kuala Lumpur : Pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret Selayang, hari ini, atas dua tuduhan membunuh isteri dan bayi perempuannya yang berusia tujuh bulan di Taman Rawang Perdana 2, Rawang, dua minggu lalu.

Tertuduh, Satvender Singh, 30, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iriane Isabelo.

Dalam prosiding itu, tiada pengakuan diambil daripada tertuduh yang memakai baju kemeja berwarna biru yang kelihatan tenang di dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa membunuh D Kamaljit, 34, dan bayinya, Ishilyn Kaur Sandhu, di rumah itu antara 3.55 pagi hingga 4.15 pagi pada 14 April lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 30 Mei ini sebagai sebutan semula kes.

myMetro 26 April 2016

0 comments:

Post a Comment