April 19, 2016

‘Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga’

Che Nab hanya mampu berada di beranda rumah usang ini sejak beberapa tahun lalu.

PASIR PUTEH - 'Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga,' itulah yang dihadapi seorang ibu tua yang bukan sekadar menderita pelbagai penyakit, malah turut tertekan memikirkan nasib masa depan kerana sehingga kini masih tinggal menumpang di rumah orang.

Lebih menyedihkan apabila Che Nab Mat Idi, 58, yang menghidapi kencing manis, darah tinggi dan sakit buah pinggang ini hanya mampu tidur dan bangun di beranda rumah kerana tidak mampu berjalan.

Selepas pembedahan lutut beberapa tahun lalu, dia tidak berupaya berdiri dan berjalan seperti orang lain, hanya mampu mengesot.

Bagi Che Nab, beranda itulah dunianya, kerana ia berfungsi sebagai tempat berehat, bilik tidur dan bilik air.

“Makcik takut nak naik ke rumah kerana takut bertambah sakit. Rumah ni pun dah usang dan banyak lantai reput. Makcik tak tahu nak buat macam mana lagi, harap ada pihak bantu bina rumah lebih selesa untuk makcik dan anak makcik berteduh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Danan, Selising dekat sini, semalam.

Che Nab menumpang rumah tersebut bersama anaknya, Mohamad Shahasrizal Abdul Hamid, 37, yang tidak bekerja kerana terpaksa menjaganya sepanjang masa.

Menurutnya, dia mempunyai saudara-mara di Bachok tetapi kesemua mereka tidak dapat membantu kerana turut mengalami kesempitan hidup.

“Makcik menangis sepanjang setiap hari mengenangkan nasib diri, makcik tak putus berdoa agar ALLAH SWT memberi sedikit kesenangan sementara ajal datang menjemput,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Insan Istimewa Kelantan (Insani), Mohd Khufri Omar ketika mengunjungi keluarga Che Nab berkata, beliau bersimpati dengan nasib keluarga terbabit tetapi hanya berupaya membantu meringankan sedikit bebanan dengan menyampaikan sumbangan.

Katanya, Insani berharap kerajaan mempertimbangkan permintaan golongan orang kelainan upaya (OKU) untuk memiliki rumah sendiri menerusi penempatan khas sebagaimana kerajaan menyediakan penempatan kepada golongan nelayan dan petani.

“Penyediaan itu bagi memastikan golongan kurang bernasib baik seperti OKU boleh memiliki kediaman sendiri dan tidak lagi bergantung kepada bantuan kerajaan.

Menerusi penempatan khas itu katanya, kerajaan juga boleh menyediakan pelbagai bentuk kerja atau peluang pekerjaan secara berpusat yang sesuai dan boleh menjana pendapatan kepada warga OKU.

“Cadangan ini tidak keterlaluan memandangkan golongan OKU tidak berkemampuan dan tidak berupaya membina kediaman sendiri sekiranya kerajaan tidak bersedia membantu,” katanya.

Sinar Harian 2 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment