April 19, 2016

Hidup daif selepas nahas


Atan mengalami kecacatan kekal selepas terbabit dalam kemalangan 10 tahun lalu.

PEKAN - Nahas menimpa kira-kira 10 tahun lalu merubah kehidupan penduduk Orang Asli, Atan Li Meli, 34, dan keluarganya apabila mereka kini hidup dalam serba kekurangan.

Menceritakan pengalaman ngerinya itu, Atan berkata, ketika kejadian, motosikal ditunggangnya terbabas merempuh pengadang jalan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari mencari akar kayu di hutan.

Katanya, kemalangan itu mengakibatkan tempurung lutut pecah dan tulangnya patah.

Katanya, walaupun sudah tidak dapat berjalan dengan sempurna, dia tetap tetap keluar mencari akar kayu dengan ditemani isteri, Mahani Wahid, 27, dan anak bongsunya, Inah yang baru berusia dua tahun.

“Saya tiada pilihan dan perlu cari rezeki untuk sara kehidupan kami enam beranak,” katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Ziarah Yayasan Pahang dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di Felcra Sri Makmur di sini, kelmarin.

Atan berkata, anak sulungnya Marini Atan, 13, terpaksa melupakan hasrat untuk bersekolah kerana tidak mampu mendaftar awal tahun lalu kerana masalah kewangan.

Katanya, hanya anak keduanya, Riduan, 12, bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Makmur dan bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) manakala anak ketiga, Jariah 10, tidak mempunyai surat beranak kerana dilahirkan di hutan.

Atan berkata, mereka kini menumpang di rumah milik bapanya di Felcra Sri Makmur tanpa bekalan elektrik.

Bagaimanapun kunjungan Ziarah Yayasan Pahang dan Jakoa bakal mengubah nasib keluarga itu.

Marini akan didaftarkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Jaya dan diberikan biasiswa.

Wakil Jakoa juga sudah mengambil kesemua maklumat keluarga itu dan mereka akan dibantu mengikut prosedur ditetapkan jabatan berkenaan.

Sinar Harian 27 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment