April 19, 2016

Hanya mampu peluk anak kesakitan

Nadratul menunjukkan keadaan fizikal Mohd Syafiq yang kepalanya membesar dan jarinya bercantum.
Hanya mampu peluk anak kesakitan

TUMPAT - Mendengar tangisannya sahaja sudah meruntun jiwa, apatah lagi ketika menatap fizikalnya yang mempunyai jari bercantum dan tulang pada wajah membesar pada kadar tidak normal sejak lahir.

Penyakit dikenali sebagai Sindrom Apert itu menyebabkan Mohd Syafiq Mohd Sahir yang baru mencecah usia enam bulan mempunyai mata agak tersembul, selain tulang rahang tidak sempurna, serta jari melekat.

Ibunya, Nadratul Naim Abdul Rahim, 31, berkata, hatinya tidak keruan setiap kali mendengar tangisan anak bongsunya.

“Dia tidur sekejap-sekejap saja, bila sedar dia menangis, siang malam dia asyik menangis sebab sukar bernafas.

“Setiap kali menangis, saya hanya mampu memeluknya dan berdoa kesakitan ditanggung reda," katanya.

Menurutnya, tangisan itu juga mungkin disebabkan kuku anaknya mencekam isi serta berair.

“Setiap malam saya bersengkang mata menjaganya, mujur ibu saya ada, dapatlah bergilir-gilir sebab dia tak tidur malam,” katanya ditemui di Kampung Pasir Pekan.

Nadratul berkata, dia reda dengan ketentuan ALLAH, namun menaruh harapan agar anaknya membesar sihat seperti kanak-kanak normal.

Dia mengakui berdepan keadaan sukar kerana Mohd Syafiq perlu menjalani beberapa pembedahan jari dan kaki serta kepala.

“Saya tak kisah kalau tak cukup tidur sebab menjaganya, namun saya berharap ALLAH mudahkan segala urusan anak bongsu saya ini. Moga urusan pembedahannya lancar,” katanya.

Nadratul memberitahu, tarikh pembedahan belum ditetapkan dan pihak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian memaklumkan Mohd Syafiq perlu menjalani pembedahan kepala sebelum usianya mencecah dua tahun.

Menurutnya, selain Mohd Syafiq, dia juga perlu menguruskan dua lagi anak masih kecil, Mohd Syazwan, 4, dan Nor Syazia Aisyah, 2.

Dia berkata, suaminya, Mohd Sahir Senik, 31, pula bekerja di syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) luar daerah Tumpat dan hanya dapat pulang sekali seminggu.

“Keadaan sekarang perit sikit sebab ketiga-tiga anak saya menyusu botol dan pakai lampin pakai buang, hanya suami yang bekerja, mujur saya menumpang di rumah ibu,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Nadratul Naim Abdul Rahim, CIMB Islamic 12810002777200 atau hubungi talian 017-9444304.

Sinar Harian 12 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment